Usia muda bukan halangan beri khidmat terbaik - Danish Hossman
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Faktor usia bukan keistimewaan atau halangan untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat Johor.
Pandangan itu disuarakan, Danish Hossman Abd Rahman (gambar), 23, calon paling muda pada PRN Johor ke-16 mewakili Pakatan Harapan (PH)
Menurut Danish, walaupun masih muda namun beliau banyak mengambil manfaat ilmu dan pengalaman dari orang yang lebih berpengalaman sekali gus membuatkan dirinya lebih matang.
"Saya ini usia sahaja muda, tetapi saya tidak asing dengan kerja bersama masyarakat kerana saya juga pengerusi kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan belia.
"Idea baharu kita boleh beri, pengalaman lama kita boleh bawa... tetapi apa-apapun matlamat utama kita ialah menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bekerja dan mendengar isu rakyat. Itu yang penting," kata Setiausaha KEADILAN Cabang Pontian itu dipetik laporan media.
Danish bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama dalam pertandingan tiga penjuru. DUN terletak dalam kawasan Parlimen Kota Tinggi itu mempunyai 32,716 pemilih yang layak mengundi pada PRN kali ini.
Sementara itu sebagai berkongsikan minatnya dalam dunia politik Danish berkata, ia berakar umbi daripada latar belakang keluarga yang aktif dalam bidang itu sejak beliau di bangku sekolah lagi.
"Datuk saya adalah ketua UMNO, manakala bapa pula Ketua KEADILAN Pontian selama 10 tahun.
"Saya dibesarkan dalam suasana yang sentiasa didedahkan mengenai politik, ekonomi dan masalah rakyat. Dari situlah timbulnya minat saya untuk menceburi politik," tambah Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor itu.
Beliau sementara itu menyifatkan kecekalan dan prinsip perjuangan kental Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'kompas' politiknya yang kekal istiqamah membela nasib rakyat meskipun diasak pelbagai badai ujian.
"Kita tengok kerjaya politik beliau dari mula adalah untuk memperjuangkan hak-hak rakyat sehingga dibuang jawatan dan dipenjarakan.
"Saya datang pada zaman ekonomi lebih stabil dan ringgit semakin baik. Saya tidak merasai kesusahan dilalui beliau, namun saya sangat menghormati beliau yang bertahan selama puluhan tahun demi memperjuangkan rakyat," ujarnya.




Comments