Usah rosak hubungan Sabah - Persekutuan dengan politik sempit
- Suara Keadilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Khamis lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang mewakili Kerajaan MADANI telah pun membuat penjelasan berkaitan isu hak 40 peratus hasil pemulangan cukai kepada Sabah di Parlimen.
Penjelasan yang amat jelas dan sewajarnya `ngok ngek atau soksek ‘ sudah wajar berhenti. Tidak wajar dipanas-panaskan lagi untuk membakar hati sendiri atau kerana politik sempit yang bertujuan menggugat keharmonian antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
Meskipun setelah Kerajaan MADANI memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung isu 40 peratus hasil pemulangan cukai kepada Sabah, sebaliknya hanya merayu berkaitan sebahagian penghakiman bertulis keputusan itu, Perdana Menteri mengambil langkah lebih ke depan dengan menjadikan Parlimen sebagai medan untuk memberi penjelasan selanjutnya.
Dalam sesi khas di Parlimen semalam (Khamis), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan lebih terperinci berkaitan keputusan kerajaan itu.
Katanya, berikutan kerajaan memutuskan tidak merayu keputusan mahkamah berkaitan hak 40 peratus itu, rundingan berhubung hal tersebut akan dimulakan segera di peringkat teknikal dan tetap diteruskan walaupun dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 berlangsung.
"Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengutus surat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Sabah bagi memulakan sesi rundingan," jelasnya.
Menurut Anwar, apa yang dirayu ialah kerajaan perlu memadamkan alasan penghakiman mahkamah dalam isu hak tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah, yang menyatakan kerajaan di peringkat negeri itu dan juga Persekutuan sejak 1974 bertindak secara tidak berperlembagaan.
Tambahnya, rayuan yang akan difailkan hanya berkisar alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tidak rasional serta mengaitkan kesilapan besar dibuat kerajaan sejak 1974.
PMX nafi Persekutuan abaikan Sabah
Dalam penjelasannya, Anwar turut menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan mengabaikan Sabah.

Beliau menegaskan, Sabah adalah negeri yang tertinggi menerima peruntukan tahunan daripada Kerajaan Persekutuan dengan jumlah sebanyak RM17 bilion berbanding negeri-negeri lain.
"Pandangan kita abaikan itu tidak tepat. Ini kerana Sabah mendapat peruntukan tertinggi iaitu RM17 bilion.
"Umpama perjanjian MA63 tetapkan kawal selia bekalan elektrik mesti jadi milik Sabah. Jadi kita sudah menyerahkannya pada Januari 2024.
"Tetapi walau jadi milik Sabah, kita masih menyediakan RM1.2 bilion kerana keperluan elektrik Sabah. Begitu juga RM706 juta projek talian penghantaran Southern Link, memasang Solar Hybrid MADANI untuk kampung Malaysia.
"Kita mulakan dengan kampung di Sabah. Bekalan air bersih RM1 billion, projek sambungan dasar laut MADANI, kos RM2 bilion dan juga Lebuhraya Pan Borneo," katanya panjang lebar.
Anwar juga mengingatkan agar hubungan dan semangat perpaduan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah tidak dirosakkan oleh kepentingan politik sempit.
"Jadi saya harap semangat perpaduan ini dijaga kerana kalau kita tiupkan isu menghasut isu perkauman sempit, ia akan merugikan.
"Yang untung hanya kepala-kepala di atas, rakyat bertempur tanpa air, elektrik dan jalan berlubang," tegasnya.





