Tinggalkan amalan lama, projek penuhi syarat perlu diluluskan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya proses kelulusan projek dipercepatkan mencerminkan pendirian jelas kerajaan bahawa budaya lambat dan bertangguh tidak lagi boleh diterima dalam pentadbiran negara.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN Bryan Ng Yih Miin (gambar), kelewatan kelulusan projek walaupun mematuhi semua peraturan telah lama menjadi kelemahan serius hingga menjejaskan keyakinan pelabur serta melambatkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Sudah terlalu lama negara ini terperangkap dalam budaya lambat, beralasan dan bertangguh. Projek yang sepatutnya dapat dilaksanakan dengan cepat sering mengambil masa enam bulan hingga lebih setahun, malah ada yang tertangguh bertahun-tahun walaupun semua syarat telah dipenuhi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bryan berkata kelewatan itu bukan lagi kes terpencil, sebaliknya telah menjadi kebiasaan yang berulang kali ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara serta menjadi rungutan pelabur tempatan dan asing.
"Kelewatan ini bukan kegagalan teknikal. Ia adalah kegagalan kepimpinan dan keazaman politik pada masa lalu," tegasnya.
Beliau menjelaskan pendekatan Perdana Menteri jelas berbeza berbanding pentadbiran terdahulu yang membenarkan proses kelulusan berjalan tanpa garis masa dan akauntabiliti, sehingga tiada pihak dipertanggungjawabkan apabila projek gagal disiapkan mengikut jadual.
"Apabila Perdana Menteri menegaskan bahawa jika sesuatu projek boleh diluluskan dalam tempoh dua bulan, maka ia mesti diluluskan dalam tempoh tersebut, mesejnya jelas iaitu tiada lagi alasan dan tiada lagi penangguhan tanpa sebab," katanya.
Menurut beliau, di bawah Kerajaan MADANI, projek yang mematuhi peraturan dijangka diluluskan dalam tempoh beberapa minggu hingga maksimum dua bulan manakala sebarang kelewatan akan dilihat sebagai kegagalan pentadbiran yang perlu diperbetulkan segera.
Bryan turut menegaskan isu mempercepatkan kelulusan projek bukan sekadar soal teknikal, sebaliknya keputusan politik yang menentukan hala tuju dan daya saing negara.
"Negara yang bergerak pantas akan menarik pelaburan, manakala negara yang lambat akan ditinggalkan. Malaysia ketinggalan sebelum ini bukan kerana kekurangan potensi, tetapi kerana terlalu selesa dengan proses yang perlahan," katanya.
Beliau membandingkan pendekatan Malaysia dengan negara lain seperti Singapura, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu yang menetapkan garis masa jelas dan mematuhinya bagi menarik pelaburan strategik.
"Malaysia tidak boleh terus bersaing menggunakan sistem yang lambat dan berbelit. Pendekatan baharu ini menandakan negara tidak lagi mahu menjadi pemerhati tetapi pemain utama," ujarnya.
Mengulas lanjut, Bryan berkata arahan Perdana Menteri itu merupakan mesej politik yang tegas bahawa peranan pentadbiran adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan menghalang kemajuan.
"Daripada bertahun-tahun kepada berbulan-bulan dan kini kepada beberapa minggu, inilah penamat kepada budaya lambat. Malaysia tidak boleh menunggu lagi. Negara mesti bergerak dan sedang bergerak," katanya.









Comments