NGO Malaysia tolak “Board of Peace” tajaan Trump, cubaan rampas Gaza
- Suara Keadilan

- 54 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa mengecam keras penubuhan “Board of Peace” tajaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang didakwa bukan inisiatif keamanan sebenar sebaliknya satu usaha merampas tanah serta eksploitasi ekonomi di Gaza.
Dalam satu kenyataan bersama, gabungan NGO itu menegaskan, lembaga berkenaan tidak mempunyai mandat demokratik, akauntabiliti undang-undang mahupun legitimasi antarabangsa malah berfungsi sebagai mekanisme pemusatan kuasa yang bersifat kekal.
"Ini bukan pelan damai. Ia adalah struktur kuasa yang direka untuk menormalisasi pelucutan hak, mengkomersialkan kemusnahan dan menjenamakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa sebagai projek pembangunan," menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Nurul Izzah Anwar selaku Pengerusi Eksekutif POLITY dan Penasihat Kehormat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Pengerusi Bersama ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) Charles Santiago, Pengarah Eksekutif Third World Network (TWN) Chee Yoke Ling, Pengerusi Pure Hands Malaysia Prof. Dr Mohd Adandi Saleh, Presiden MAHAR Jismi Johari, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader.
Gabungan NGO itu turut mengecam hasrat terbuka Trump untuk menjadikan Gaza sebagai destinasi mewah berteknologi tinggi yang digelar “Gaza Riviera” yang menurut mereka merendahkan hak rakyat Palestin kepada sekadar urus niaga hartanah.

"Tanah dianggap sebagai aset untuk kepentingan kewangan manakala rakyat Palestin diketepikan sepenuhnya daripada sebarang proses membuat keputusan mengenai masa depan wilayah mereka sendiri," tegas kenyataan itu.
Mereka turut merujuk kenyataan bekas Penasihat Kanan Rumah Putih Jared Kushner di Forum Ekonomi Dunia di Davos yang secara terbuka mempromosikan pembangunan swasta tanpa pemilikan Palestin, pertumbuhan tanpa hak dan pembinaan semula tanpa penentuan nasib sendiri.
"Model ini mencerminkan corak penjajahan ekonomi dan melanggar prinsip asas undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia antarabangsa," katanya.
Selain itu, sokongan mana-mana negara termasuk ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Board of Peace disifatkan sebagai kegagalan serius tanggungjawab undang-undang.
"Tiada forum politik berhak menghalalkan pemerolehan wilayah melalui kekerasan atau pengecualian kekal penduduk yang diduduki daripada tadbir urus wilayah mereka," kata kenyataan itu.
Gabungan itu turut mendakwa penyertaan sesetengah negara diperoleh melalui paksaan ekonomi termasuk ancaman tarif perdagangan yang menurut mereka tidak boleh dianggap sebagai persetujuan sah.
Sehubungan itu, mereka menolak sepenuhnya Board of Peace yang disifatkan sebagai “tidak sah, menyalahi undang-undang dan berbahaya” sambil menggesa masyarakat antarabangsa tidak menerima usaha pelucutan hak rakyat Gaza atas nama pembangunan dan eksploitasi sebagai keamanan.
"Keamanan sebenar memerlukan keadilan, akauntabiliti dan pengiktirafan penuh hak rakyat Palestin di bawah undang-undang antarabangsa," tegas kenyataan itu lagi.









Comments