top of page

Isu ladang babi: Masa Pas jadi Exco Selangor isu tidak diselesaikan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) menempelak tindakan sesetengah pihak yang cuba memanaskan isu penternakan babi di negeri itu sehingga mencetuskan polemik.


Katanya, isu berkenaan dipolemikkan apabila sentimen didahulukan berbanding data.


"Isu penternakan babi telah menjadi isu yang panas. Kita cadang, kita dengar dan kita akan menilai semula kawasan yang sesuai yang jauh daripada kawasan penempatan untuk penternakan yang komprehensif dengan nilai 30% sahaja untuk pasaran tempatan.


"Itulah masalahnya apabila sentimen telah menguasai daripada data," katanya ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.


Menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) mengenai dakwaan najis babi masih mengalir ke laut seperti dibangkitkan penduduk Tanjong Sepat walaupun sebahagian besar ladang telah ditutup, Amirudin menjelaskan masalah itu bukan perkara baharu dan telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.


Ahli Parlimen Gombak itu berkata, isu berkenaan telah berlarutan dalam tempoh pentadbiran terdahulu, ketika portfolio Exco Pertanian dipegang oleh Pas.


"Masalah itu bukan satu tahun, ketika Pas jadi Exco Pertanian masalah itu masih berterusan dan (sekarang) kita ingin tangani.


"Cuma saya nak maklumkan di sini, apa masalah sebelum ini? Sebelum ini, semasa saya dan Kuala Langat menjadi Exco, ada kira-kira dua atau tiga kertas kerja dibentangkan.


"Kertas itu adalah untuk membuat penternakan sebagaimana yang dirancang. Isu dia sebelum ini apa? Tidak ada pelabur yang nak buat kerana kosnya tinggi, kerajaan pun tak nak melabur. Sekarang ini pelabur nak datang.


"Kenapa kita tak buat di kawasan tersebut? Kita tak buat di kawasan tersebut kerana kawasan itu memerlukan pemulihan dan UPM mencatatkan minimum enam tahun untuk ‘soil recovery’ iaitu pemulihan kawasan tersebut," katanya.


Dalam pada itu, Amirudin menegaskan, pihaknya sememangnya mahu menutup kawasan penternakan (tradisional) di Tanjong Sepat kerana sudah tercemar, buruk dan rosak.


Ujarnya, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memindahkan kawasan penternakan ke kawasan yang lebih jauh yang lebih tertutup serta mempunyai sistem tersendiri seperti yang telah dibina di beberapa buah negeri seperti di Simunjan, Sarawak, Sungai Siput Perak.


"Tidak benar kalau kata kerajaan nak buka (ladang berskala) mega sampai tahap import dan eksport serta dijual di tempat lain.


"Itu penjelasan kita kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan diterima baik. Saya juga menerima cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek penternakan babi di Bukit Tagar ditangguhkan sementara, bagi membolehkan kerajaan negeri mencari penyelesaian yang lebih komprehensif serta memberikan penerangan yang lebih jelas kepada masyarakat" kata Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor.


Pada 26 Januari lalu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri membuat keputusan membatalkan sementara projek ternakan babi di Bukit Tagar bertujuan mencari lokasi baharu.


Selain itu, Amirudin melihat terdapat keperluan mengadakan perbincangan bersama dengan pengusaha ternakan dan memberi penjelasan kepada semua pihak atas salah faham yang berlaku.


Beliau berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini telah mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim mencari lokasi baharu kerana wujud penentangan kuat terhadap kawasan yang dicadangkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page