Urus pelarian guna pendekatan bijaksana, jangan berasaskan emosi
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 1 min read

Mengurus isu pelarian di negara ini menggunakan pendekatan berasaskan emosi semata-mata tidak akan menyelesaikan isu tersebut yang telah berlarutan sekian lama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sedar mengenai sentimen yang semakin kuat berhubung pengurusan pelarian, namun isu tersebut mesti diurus dengan pendekatan seimbang dan bijaksana dengan mengutamakan aspek keselamatan negara dan kemanusiaan.
"Sebagai kerajaan, kita tidak boleh mengurus secara emosi. Kita ada konteks kita dan perlu seimbangkan antara keselamatan serta kemanusiaan.
"Dalam menguruskan permasalahan ini, mesti ada pertimbangan jelas. Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara," katanya dipetik pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Isnin.
Kenyataan tersebut dibuat susulan perbincangan berterusan mengenai isu pelarian, termasuk petisyen yang menggesa pelarian etnik Rohingya dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan semula di negara ketiga.
Petisyen dilancar akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu cuba mendapatkan sejuta sokongan dan didakwa telah meraih lebih 424,000 tanda tangan.
Ketika sentimen kebimbangan awam mengenai masalah sosial, isu keselamatan, dan pemilikan perniagaan oleh warga asing semakin mendesak, beberapa pertubuhan tampil menggesa orang ramai agar tidak menormalisasikan naratif kebencian melampau terhadap komuniti pelarian.
Sementara itu, ketika sidang medianya, Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen akan mempergiat penguatkuasaan terhadap warga asing yang didapati menyalah guna pas lawatan sosial.
Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.




Comments