top of page

Untuk Apa Pilihan Raya Tanpa Peluang Seimbang Berkempen?



Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak seperti sudah dijangka. Parti parti pembangkang yang diharap boleh membuat kejutan dalam situasi biasa, semuanya hampir tidak 'bernafas' dalam pengundian semalam.


Parti Sarawak Bersatu (PSB) jika PRN diadakan dalam suasana bukan Covid 19 boleh mencatat keputusan lebih baik, malah mungkin menang sehingga 15 kerusi. Bukannya 4 kerusi dan terlalu sedikit berbanding sejumlah besar wang yang dilaburkan untuk membeli bendera, poster atau mengadakan acara acara memperkenalkan calon kepada rakyat


Begitu juga DAP dan KEADILAN, sepatutnya menang banyak kerusi. KEADILAN jika dibenar menganjurkan ceramah umum boleh menang lebih daripada 5 kerusi.


Dengan hanya 5 pemimpin utama yang dibenar merentasi daerah berkempen isu apakah yang boleh dihangatkan? Acara kempen pula terhad kepada beberapa puluh orang dan dalam masa dua jam. Apa isu yang boleh disampaikan?


60% kawasan tiada capaian internet


Selebihnya bahan kempen hanya boleh melalui internet yang mana 60% penduduk Sarawak tiada akses. Begitu juga risalah, kebanyakan penduduk tidak begitu bersedia dengan bahan kempen tanpa pemimpin menerangkan kepada mereka. Sebahagian lain tidak begitu 'cerdik' untuk hanya memahami risalah.


Risalah tanpa ceramah dan penerangan kurang menarik minat pengundi

Manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) bebas berkempen di media utama yang dikuasai Kerajaan Negeri atau negara. Pemimpin mereka tidak ditegah menganjurkan sebarang acara kerajaan dengan menyelitkan kepentingan parti, mengajak rakyat mengundi dan mengekalkan kerajaan.


Hal itu belum lagi diambil kira penggunaan wang ringgit yang berleluasa. Sehingga petugas kempen KEADILAN misalnya, ketika memberi risalah sehari sebelum mengundi, ditanya berapakah RM yang disertakan dengan bahan kempen itu?


Amat dahsyat budaya rasuah undi yang diajarkan oleh kerajaan BN terdahulu dan penerusnya di Sarawak hari ini. Pengundi tidak segan silu menjual undi malah maruah diri untuk lima tahun sekali.


SPR tidak kempen mengundi selamat


Pada hari pembuangan undi keadaan lebih parah menghadapi jentera besar dari GPS, memastikan penyokong mereka diangkut ke pusat mengundi.


Lihat sahaja di kawasan kawasan kubu GPS, pengundi tua renta diangkut sehingga tidak cukup kerusi roda. Sedangkan pengundi muda berputus harap untuk membuang undi melihat budaya pilihan raya yang kotor. Mereka memilih untuk tidak keluar dan memboikot.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula melanjutkan sindrom bisu selepas gagal mengeluarkan lebih 70% pengundi di Melaka bulan lalu. Tiada kempen menjanjikan keselematan dari virus Covid 19 dilaksanakan SPR secara besar besaran. Akibatnya rakyat bukan penyokong kuat parti masih takut keluar secara sukarela, melainkan penyokong GPS yang dijemput dari rumah ke pusat mengundi.


Demokrasi Malaysia suram


Pilihan raya di Malaysia memasukki era kelam menghampiri suasana seperti di negara negara Afrika. Untuk mengekalkan rejim gagal terus memerintah, pembangkang dikenakan pelbagai sekatan. Parti kerajaan pula bebas untuk melakukan apa sahaja.


Ceramah terhad dengan SOP ketat tidak berjaya menghimpunkan pengundi di rumah panjang

Penyudah kepada kebobrokan sistem tersebut tentulah kemunduran seluruh negara, pemberontakan dan kurangnya pelabur asing masuk, kecuali pelabur dari China yang tidak mengenal erti pilihan raya. Mereka masuk atas nama melabur, memberi pinjaman kepada kerajaan dan kemudian negara terperangkap dalam belenggu hutang. Kerajaan akhirnya memajak tanah kepada syarikat milik kerajaan China setelah hampir semua hasil bumi diborong secara murah oleh negara komunis tersebut. Apakah ini masa hadapan yang ideal buat Malaysia?


Kemuraman demokrasi ini diungkapkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bahawa pilihan raya tanpa kebebasan berkempen tidak memberi peluang bersaing yang sewajarnya kepada pembangkang.


"Seperti mana kita ketahui dalam pilihan raya Melaka dan Sarawak memang terlalu banyak kekangan, kalau teruskan pilihan raya dalam keadaan sekarang.


"Dalam keadaan sekarang nama sahaja pilihan raya, sekatan banyak sangat," katanya.


Apakah ada penyelesaian di hadapan? Tidak banyak yang boleh dilakukan kecuali Pakatan Harapan bersama parti parti pembangkang lain melakukan bantahan agar kerajaan BN menukar peraturan pilihan raya yang menindas. Tanpa peraturan ini ditukar maka keputusan pilihan raya akan sama sahaja. BN boleh menang sehingga 90% kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15. Oleh kerana Covid 19 tidak mempunyai penawar yang benar benar efektif maka Prosedur Operasi Piawai (SOP) dua pilihan raya, Melaka dan Sarawak mungkin akan dijadikan peraturan tetap selepas ini.


Dari segi strategi pembangkang pula, untuk mengelakkan kalah teruk dalam PRU akan datang maka idea 'khemah besar' perlu diguna pakai untuk menggabungkan kesemua parti pembangkang. Itu pun bagi mengelakkan kalah teruk, bukannya untuk mendapatkan Putrajaya.


Sesungguhnya selepas PRN Sarawak banyak perkara perlu diperbincangkan oleh parti parti pembangkang dan juga NGO NGO prihatin ke atas perjalanan demokrasi di Malaysia.


Apa yang penting PRU 15 perlu dipastikan tidak dilakukan dengan SOP sedia ada, dan parti parti pembangkang perlu mengenepikan agenda masing masing untuk menerima agenda bersama demi memastikan suara rakyat dibela.


_______________________________________________________________________________

Artikel ini disediakan oleh team Suara Keadilan yang mengikuti PRN Sarawak


0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page