top of page

Adab Berbeza Pendapat, Pertentangan Idea Satu Hikmah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Dr Bam Al-Haj


ULASAN: "Saya betul, tapi mungkin salah. Anda salah, tapi mungkin betul."


Kata-kata ini dinukilkan oleh Edward de Bono, pakar "lateral thinking" dalam bukunya "I Am Right, You Are Wrong: From This to the New Renaissance: From Rock Logic to Water Logic".


Dalam ajaran Islam, adab berbeza pandangan dipelopori oleh Syaikh Dr Taha Jabir al-Alwaniyy dalam magnum opusnya "Adab Berbeza Pendapat Dalam Islam".


Bagi beliau, adab berbeza pandangan adalah menghormati perbezaan, bersikap ikhlas mencari kebenaran kerana Allah, berlapang dada, tidak menggunakan kata-kata kesat atau mencela, serta berusaha mengelakkan perpecahan umat.


Beliau turut menekankan adab dalam memberi dan menerima pendapat selari dengan prinsip syariat, yang menjadi panduan agar perbezaan tidak membawa kepada perpecahan.


Beza pendapat satu hikmah


Walaupun berbeza pendapat, kita tidak boleh sama sekali bertegang leher, bertengkar, memaki hamun, menghina, memfitnah, mengadu-domba, mencetuskan perbalahan berpanjangan, berdendam, bermasam muka, berprasangka jahat, saling menuduh dan bergaduh.

Penulis - Dr Bam Al-Haj
Penulis - Dr Bam Al-Haj

Dalam Islam, berbeza pendapat adalah satu hikmah. Berbeza pandangan dalam perbualan dan wacana boleh menghasilkan idea-idea baharu yang kritis, kreatif dan inovatif bagi merungkai dan menyelesaikan suatu permasalahan.


Berbeza pandangan dan faham politik misalnya dapat memecahkan kebuntuan dalam menyelesaikan masalah rakyat asalkan ikhlas, jujur dan bertanggungjawab bagi membina hidup harmoni dalam kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini.


Sudah pastilah sikap bertolak-ansur, sabar dan saling menghormati pandangan masing-masing amat dituntut.


Apa yang penting ialah kesediaan untuk duduk semeja, berunding dengan tenang, memberikan kerjasama dan bersikap adil dalam menyelesaikan masalah bersama.


Sikap meminta maaf jika terlanjur kata dan melakukan kesilapan, sikap pemaaf dan tidak mengungkit kisah lama perlu diutamakan.


Buang yang keruh ambillah yang jernih. Biduk berlalu kiambang bertaut. Sebagai umat Islam, kita ibarat abang adik. Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga.


Ambillah sikap air dicincang takkan putus dan sentiasa hidup bagai aur dengan tebing, saling menyokong antara satu sama lain.


Jangan terlalu cepat menghukum

Apa sahaja masalah bersama akan dapat diatasi jika kita bergotong-royong menanganinya. Bersatu teguh bercerai roboh.


Masing-masing ada peranan, baik kerajaan atau pembangkang. Sesungguhnya dalam politik musuh tidak selamanya lawan, ada kalanya kita akan jadi kawan jika keadaan memerlukan. Janganlah terlalu cepat menghukum. Kita adalah pendakwah bukan penghukum (kadi/hakim) (nahnu du'ah la qudah).


Oleh itu, berpada-padalah dalam berbeza pendapat. Jangan sampai semuanya berantakan. Jangan sampai negara ini menjadi padang jarang padang tekukur kerana perbalahan politik yang tidak berkesudahan. Jangan sampai menang jadi arang kalah jadi abu.


Jika ini berlaku, kita semua sebagai rakyat dan pengundilah yang rugi. Negara yang tidak stabil boleh mengundang musuh yang sentiasa menunggu ingin menelan kita.


Sikap berlapang dada, sabar, tenang dan beradab diperlukan apabila berbeza pendapat dengan sesiapapun. Percayalah jika ini dapat dilakukan, Allah SWT akan memberikan kita jalan keluar. Itulah hikmah.

Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page