KEADILAN Pernah Hilang Tokoh Besar, Parti Terus Utuh
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 2 min read

Oleh: Eddiarman Mohd Yunos
ULASAN: Politik bukan jalan yang sentiasa lurus dan tenang. Sejarah Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sejak era Reformasi membuktikan bahawa perjuangan ini telah melalui pelbagai episod cabaran, tekanan, pengkhianatan, keluar parti, serangan persepsi dan percubaan melemahkan gerakan reformasi rakyat.
Daripada era awal Reformasi sehinggalah kepada episod besar seperti Langkah Sheraton 2020, KEADILAN pernah kehilangan tokoh besar, pimpinan utama malah Ahli-ahli Parlimen. Namun satu perkara yang harus difahami oleh seluruh anggota parti ialah perjuangan KEADILAN tidak pernah mati kerana perjuangan ini dibina atas idealisme rakyat, bukan bergantung kepada mana-mana individu semata-mata.
Beza pandangan, perebutan pengaruh
Dalam politik, akan sentiasa ada perbezaan pandangan, perebutan pengaruh, kekecewaan dan penghijrahan politik. Itu adalah realiti dalam mana-mana parti politik di seluruh dunia. Apa yang penting ialah bagaimana sesebuah parti itu bertahan serta terus bangkit, memperkukuh saf perjuangan dan terus bergerak ke hadapan demi rakyat.
KEADILAN hari ini masih berdiri kukuh kerana akar perjuangannya adalah tentang reformasi, keadilan sosial, tatakelola baik dan masa depan Malaysia yang lebih demokratik. Parti ini telah melalui fasa yang jauh lebih sukar sebelum ini dan tetap mampu bangkit sehingga menjadi antara tunjang penting dalam Kerajaan MADANI hari ini.
Rencam dinamika politik
Saya ingin menyeru kepada seluruh anggota dan pimpinan KEADILAN di semua peringkat agar terus bertenang, matang dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen sementara ataupun permainan persepsi politik yang sengaja mahu melemahkan keyakinan akar umbi.
Anggaplah segala yang berlaku ini sebagai sebahagian daripada rencam dinamika politik yang pasti berlaku dalam sebuah parti besar yang sedang memimpin perubahan negara. Jangan sesekali kita hilang fokus terhadap agenda perjuangan yang lebih besar.
Hari ini rakyat sedang memerhati sejauh mana kita mampu mempertahankan kestabilan, membawa solusi kepada rakyat dan mengukuhkan keyakinan terhadap politik masa depan yang lebih baik.
Perkukuh gerak kerja parti
Kita tidak mempunyai masa untuk terus terperangkap dalam polemik dalaman yang berpanjangan. Fokus kita sekarang ialah memperkukuhkan gerak kerja parti, mendekati rakyat, memperkemas jentera dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri serta Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Kita pernah jatuh.
Kita pernah diuji.
Kita pernah dikhianati.
Tetapi KEADILAN tetap bangkit dan terus mara.
Ayuh rapatkan saf perjuangan.
Perkukuhkan kesatuan.
Terus bekerja untuk rakyat.
InsyaAllah, dengan kesabaran, kesetiaan dan semangat perjuangan yang utuh, KEADILAN akan terus menjadi harapan rakyat Malaysia.
Saudara saudari sekalian... Saya tetap kekal bersama KEADILAN.
Reformasi!
"Lawan Tetap Lawan".
Penulis merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Melaka




Comments