Menteri Wilayah: Pas Dan Retorik Perkauman Tanpa Fakta
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Mungkin sudah jadi kelaziman hari ini, belum apa-apa lagi tetapi sudah dibuat pelbagai persepsi negatif dan dengan pantas menjatuhkan sesuatu hukuman di media sosial. Yang penting mencari sebarang modal dan alasan untuk terus membenci Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX). Begitulah kalau hati sudah hitam, semuanya dipandang buruk, negatif dan hina.
Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Lo Su Fui sebagai timbalannya telah menimbulkan kerisauan dan kebimbangan di kalangan pemimpin Pas yang nampaknya cuba memainkan sentimen perkauman dan seterusnya membawa isu ini dengan niat mencetuskan sentimen kebencian dalam masyarakat majmuk di negara kita.
Tidak jejas agenda Melayu
Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menjelaskan perlantikan tersebut tidak akan menjejaskan agenda Melayu di Wilayah Persekutuan.

Menurut Zahid, semua keputusan utama (di Wilayah) dibawa kepada Kabinet dan pertimbangan dibuat berdasarkan beberapa ketentuan bahawa kepentingan semua pihak akan terjaga.
Zahid menjelaskan lagi yang “Perkara ini bukan soal bangsa kerana Kerajaan MADANI memberikan keprihatinan terhadap keterangkuman dalam pelaksanaan agenda nasional termasuk di Wilayah Persekutuan”.
Apa yang ditegaskan oleh Zahid adalah penting bagi meredakan kerisauan dan kebimbangan sebahagian pihak yang sering mengaitkan jawatan “kerusi panas” ini dengan agenda perkauman. Golongan ini akan menggunakan sebarang alasan dan isu untuk menakut-nakutkan masyarakat Melayu, yang kononnya nasib Melayu bandar akan ditindas.
Pelantikan Hannah Yeoh wajar dilihat dalam kerangka tadbir urus dan prestasi, bukan semata-mata sentimen kaum. Lihat sahaja rekodnya di Kementerian Belia dan Sukan yang mana Hanna telah menunjukkan pendekatan yang sangat profesional tanpa kecenderungan kepada agenda sempit.
Wilayah Persekutuan bersifat majmuk
Rasanya tidak perlu diingatkan bahawa Wilayah Persekutuan sendiri bersifat majmuk dan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, yang mana memerlukan kepimpinan yang berupaya mengimbangi kepelbagaian kaum, ekonomi dan sosial.
Manakala pelantikan Datuk Lo Su Fui sebagai timbalan pula mencerminkan keperluan perwakilan wilayah, khususnya Labuan, agar suara tempatan lebih didengari dan diberikan perhatian yang sewajarnya. Apa lagi yang nak dibimbangkan apabila Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sentiasa memberi jaminan akan terus memantau setiap kementerian di bawah kerajaan Madani.
Kabinet didominasi Melayu-Islam
Saya juga tertarik dengan kenyataan Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil yang menegaskan bahawa dalam sistem pentadbiran negara, setiap dasar termasuk isu penting seperti Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) mesti dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri secara kolektif yang majoritinya Menteri Melayu Islam yang mana berjumlah 21 orang atau hampir 64% daripada keseluruhan komposisi kabinet yang ada. Jika kabinet kerajaan Madani masih dikuasai oleh orang Melayu Islam, di mana logiknya DAP atau kaum Cina mengawal kabinet ini?
Beliau juga menjelaskan lagi bahawa struktur kuasa Wilayah Persekutuan kekal di bawah kawalan institusi Melayu-Islam yang mana Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Bandar Kuala Lumpur semuanya Melayu-Islam dan melapor secara langsung dalam rantaian kuasa yang sama. Maka dakwaan wujud “pemusatan kuasa etnik” adalah hujah yang sengaja dipesongkan.
Apa yang lebih penting ialah kejayaan atau kegagalan sesuatu pelantikan itu mesti dinilai berdasarkan keberkesanan dasar serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan yang dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Sudah sampai masanya berhenti bermain retorik perkauman yang sudah lapuk untuk menakut-nakutkan masyarakat di negara kita.
Negara kita memerlukan barisan kempimpinan yang mementingkan perpaduan antara kaum dan bukannya pemimpin yang mengajar rakyatnya untuk terus terperangkap dalam politik perkauman dan kebencian.
Penulis merupakan aktivis sosial dan Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur)





