top of page

MARA 60 Tahun: Memperkemas Akta, Memperkasa Amanah Perkara 153

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Enam dekad selepas penubuhannya pada tahun 1966, Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini berada di persimpangan penting sejarah penubuhannya.


Cadangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) untuk memperkemaskan Akta MARA bukan sekadar langkah pentadbiran tetapi satu keperluan strategik untuk memastikan institusi tersebut terus relevan dalam lanskap ekonomi dan pendidikan abad ke-21.


Sejak awal, MARA ditubuhkan berteraskan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan — iaitu memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.


Namun, realiti hari ini jauh lebih kompleks berbanding era pasca-merdeka. Cabaran globalisasi, revolusi digital dan persaingan ekonomi terbuka menuntut pendekatan yang lebih dinamik dan berani.


Reformasi tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti


Akta MARA perlu diperkemas untuk memasukkan prinsip tadbir urus moden. Ini termasuklah pemisahan jelas antara peranan pembuat dasar dan pelaksana; audit prestasi berkala yang telus; pengukuhan mekanisme semak dan imbang yang bebas.


Tanpa pembaharuan ini, MARA berisiko dilihat sebagai institusi birokratik ketinggalan zaman, bukannya pemacu mobiliti sosial Bumiputera.


Pendidikan berimpak tinggi


Model lama yang menekankan akses pendidikan perlu ditransformasikan kepada kualiti dan impak. Institusi seperti MRSM mestilah menjadi pusat kecemerlangan STEM dan teknologi baharu bagi melahirkan graduan berdaya saing global, bukan sekadar lulus peperiksaan.


Selain itu ia perlu menghubungkan pendidikan dengan industri (industry linkage). Pendek kata, MARA perlu beralih daripada “melahirkan pelajar” kepada “melahirkan pencipta nilai”.


Pemerkasaan ekonomi dari subsidi ke keupayaan


Pendekatan lama berasaskan bantuan dan subsidi perlu digantikan dengan model pembangunan kapasiti dan pembiayaan berasaskan prestasi.

Shahbudin Embun
Shahbudin Embun

Sokongan perlu dijuruskan kepada sektor bernilai tinggi (teknologi, digital, eksport), inkubator keusahawanan sebenar dan bukan sekadar latihan biasa.


Jika tidak bantuan MARA kepada usahawan hanya akan mencipta kebergantungan tetapi tidak menjana kekuatan ekonomi sebenar.


Manakala Akta MARA perlu ditambah baik bagi memberi mandat jelas kepada organisasi ini untuk menjadi pemain utama dalam ekonomi digital. Terutama dalam latihan kemahiran AI, data dan automasi, memberi sokongan kepada usahawan digital.


MARA juga perlu pendigitalan penuh sistem penyampaiannya. Tanpa lonjakan ini Bumiputera akan terus ketinggalan dalam ekonomi masa depan.


Pendekatan inklusif Bumiputera Malaysia Timur


Perkara 153 bukan hanya tertumpu kepada Melayu Semenanjung. Dasar MARA juga mesti lebih responsif kepada konteks Sabah dan Sarawak


Infrastruktur pendidikan dan ekonomi perlu disesuaikan dengan realiti tempatan di sana. Peluang mesti diagihkan secara lebih seimbang dan adil.


Sudah tiba masanya kejayaan MARA tidak lagi diukur berdasarkan jumlah pinjaman diluluskan atau bilangan pelajar ditaja. Sebaliknya, ukuran baharu mesti merangkumi kadar kebolehkerjaan graduan, pendapatan usahawan selepas 5–10 tahun dan sumbangan kepada ekonomi negara


Perkemas Akta MARA tepat pada waktu


Cadangan PMX untuk memperkemas Akta MARA adalah tepat pada waktunya. Namun, keberanian politik mesti disertai dengan kejelasan dasar.


MARA tidak boleh lagi sekadar menjadi simbol sejarah kejayaan lampau. Ia mesti menjadi institusi masa depan — yang benar-benar mengangkat martabat Bumiputera selaras dengan roh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.


Jika pembaharuan ini dilakukan secara separuh hati maka MARA hanya akan terus berjalan tetapi tanpa arah yang jelas.


Sebaliknya, jika reformasi dilakukan secara menyeluruh dan berani, MARA mampu kembali menjadi #instrumen utama mobiliti sosial dan kekuatan ekonomi Bumiputera untuk 60 tahun akan datang.



Penulis merupakan Pengerusi Biro Politik SEKPUR

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page