top of page

Teknologi keselamatan baharu di RTS Link Johor Bahru-Singapura

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 1 min read
DS Saifuddin dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura
DS Saifuddin dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura

Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura bakal memanfaatkan teknologi keselamatan berkeupayaan tinggi bagi memastikan pergerakan penumpang lebih pantas dan lancar, tanpa berkompromi aspek keselamatan sempadan negara termasuk membanteras penyeludupan dan kemasukan tidak sah.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, teknologi tinggi itu adalah untuk memastikan setiap pergerakan direkod, dianalisis dan dipantau secara masa nyata (real time) agar tidak ada ruang jika berlaku cubaan penyeludupan, kemasukan tidak sah atau ancaman keselamatan lain.


"Kita tahu kawalan pintu masuk sempadan ini terdedah kepada pelbagai potensi ancaman keselamatan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pendatang asing tanpa izin dan sebagainya.


"Jadi ketika kita mahu memastikan pergerakan itu lancar (seamless) dan alirannya pantas, pada masa sama kita gunakan teknologi untuk memastikan setiap pergerakan direkod, dianalisis dan dipantau.


"Ia supaya tidak ada ruang langsung kepada pihak tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke RTS Bukit Chagar, Johor semalam bertujuan memantau tahap kesiapsiagaan fasiliti kawalan sempadan negara menjelang pembukaan operasi penuh dijadual pada 31 Disember tahun ini.


Saifuddin berkata, dengan mengambil kira pelaksanaan teknologi berkeupayaan tinggi dalam memperkukuh pemeriksaan keselamatan di pintu masuk, semua penumpang yang memanfaatkan kemudahan itu diharap dapat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.


"Tujuan kita bukan untuk menyulitkan pergerakan atau perjalanan rakyat.


"Tujuan kita adalah memastikan proses saringan dapat dilaksanakan dengan pantas, tepat dan penuh integriti, sekali gus melancarkan pergerakan penumpang tanpa mengkompromikan aspek keselamatan negara," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page