top of page

M'sia–Thailand kukuh kerjasama, sasar perdagangan AS$30 bilion

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar berdialog dengan PM Anutin Charnvirakul mengenai hubungan dua hala
DS Anwar berdialog dengan PM Anutin Charnvirakul mengenai hubungan dua hala

Malaysia dan Thailand menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala serta mempercepat sasaran perdagangan bernilai AS$30 bilion menjelang 2027 menerusi pertemuan pemimpin kedua-dua negara di luar Sidang Kemuncak ASEAN.


Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dua hala bersama PM baharu Thailand, Anutin Charnvirakul selepas berakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 itu mencerminkan iltizam bersama dalam memperluas kesalinghubungan rentas sempadan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.


"Pertemuan ini menzahirkan iltizam bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala, termasuk mempercepat sasaran perdagangan AS$30 bilion menjelang 2027 serta memperluas kesalinghubungan rentas sempadan demi manfaat rakyat kedua-dua negara," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut beliau, kedua-dua negara turut menegaskan kepentingan menyelesaikan sebarang pertikaian secara damai berlandaskan undang-undang antarabangsa, selain mempertahankan kesatuan ASEAN sebagai tunjang keamanan dan kestabilan serantau.


"Malaysia kekal komited mendukung diplomasi, dialog dan prinsip yang berpaksi pada sikap saling hormat serta kepentingan bersama," katanya.


Dalam semangat kejiranan erat, Malaysia dan Thailand juga akan memperhebat kerjasama melibatkan pembangunan kawasan sempadan, jaringan rel dan logistik, keselamatan tenaga, mitigasi banjir serta hubungan rakyat ke rakyat.


"Keakraban ini bukan sekadar meneruskan legasi persahabatan yang telah lama terbina, tetapi juga menjadi asas penting dalam menyemarak masa depan rantau yang lebih aman, makmur dan berdaya tahan," katanya.


Sebelum itu, PM Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Le Minh Hung bagi memperluas kerjasama strategik antara Malaysia dan Vietnam.


Delegasi Malaysia dan Vietnam berbincang isu perdagangan dan hubungan luar
Delegasi Malaysia dan Vietnam berbincang isu perdagangan dan hubungan luar

"Kami menzahirkan komitmen untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), STEM, keselamatan makanan, tenaga boleh baharu serta tadbir urus kewangan yang lebih mampan dan progresif," katanya.


Beliau berkata, Malaysia turut menyambut baik pemeteraian pelbagai inisiatif strategik termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) Ekonomi Digital dan pelaksanaan projek tenaga rentas sempadan yang mampu menyokong pertumbuhan serantau.


Menurutnya, ASEAN perlu terus bergerak sebagai platform kerjasama berteraskan keyakinan, kemampanan dan kemajuan bersama dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.


"Dalam dunia yang semakin mencabar, kekuatan rantau ini bergantung kepada kesediaan kita memperkukuh jaringan ekonomi, pendidikan, teknologi dan kesejahteraan rakyat secara kolektif," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page