top of page

PRU, PRN dan Cadangan Atasi Politik Toksik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 3 min read

ree

Oleh: Dr Bam Al-Haj


ULASAN: Sejak 2018, saya perhatikan politik negara begitu rencam dan kacau bilau. Pelbagai karenah orang politik begitu memualkan. Langkah Sheraton untuk menggulingkan kerajaan pilihan rakyat begitu mengelirukan kita.


Maka bertukarlah kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri (PRN) hanya kerana berlaku lompat parti.


Maka undang-undang Anti-Lompat Parti pun diwartakan, namun disebabkan kelompangan yang ada, ia tetap berlaku secara enblock. Akibatnya apabila tak puas hati dengan seseorang pemimpin, ahli-ahli Parlimen dan DUN akan mencari jalan untuk menumbangkannya.


Pengaruhi persepsi rakyat


Zaman pasca-normal dan media sosial sekarang memudahkan mereka mempengaruhi persepsi rakyat supaya memberontak. Keadaan ini tidak baik bagi negara membangun seperti Malaysia. Ia menjadikan negara tidak stabil dan padahnya keyakinan pelabur untuk melabur semakin berkurangan.


Ini ditambah dengan sistem kuasa yang mana ketua Kerajaan Persekutuan atau negeri membolehkan mereka membubarkan Parlimen dan DUN sewenang-wenangnya demi mempertahankan kuasa yang ada.

Penulis -  Dr Bam Al-Haj
Penulis -  Dr Bam Al-Haj

Jika kajian mendapati mereka boleh menang sepenggal lagi, mereka akan segera membubarkan Parlimen atau DUN, walaupun tempoh lima tahun belum dipenuhi. Sekarang PRN dan PRU sudah tidak berjalan serentak seperti dahulu.


Kuasa membubarkan Parlimen dan DUN telah disalahgunakan untuk mempertahankan kuasa. Ini tidak adil kepada pembangkang dan rakyat keseluruhannya.


Maka tahun ini PRN Sabah. Tahun depan PRN Melaka dan Johor pula. Lepas itu PRU pula. Tiap-tiap tahun ada pilihanraya dan ini sebenarnya menganggu konsentrasi kerajaan dan rakyat untuk membangunkan negara dan negeri. Kerajaan patut meminda Akta Pilihan Raya supaya pilihanraya diselaraskan semula.


PRU dan PRN serentak


Pertama, PRU dan PRN mesti dijalankan secara serentak. Jika tidak, kos mengadakan PRN secara berasingan lebih tinggi berbanding jika dilaksanakan secara serentak. Rakyat pula akan bercakaran sepanjang masa disebabkan perbezaan faham politik.


Kedua, PRU dan PRN hendaklah ditetapkan setelah tempoh 5 tahun kerajaan dilunaskan.


Ketiga, dicadangkan kuasa membubarkan Parlimen dan DUN bukan terletak di tangan PM atau MB/KM, tetapi di tangan Yang di-Pertuan Agong. Kuasa ini diperturunkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tiga bulan sebelum berakhirnya penggal baharulah SPR menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dan DUN untuk diperkenankan oleh Agong.


Bagaimanapun, Agong boleh membubarkan Parlimen dan DUN jika dirasakan Kerajaan Persekutuan dan negeri tidak lagi berfungsi dengan baik hanya selepas empat tahun daripada tarikh PRU dan PRN terdahulu.


Yang di-Pertuan Agong dicadang boleh melucutkan Ahli Parlimen dan DUN yang sering membuat kacau dan menggugat keharmonian serta kestabilan negara, setelah tindakan disiplin dan teguran tidak diendahkan.


Keempat, SPR juga dicadang boleh menolak sesiapa sahaja yang menggugat keharmonian dan kestabilan negara daripada bertanding dalam PRU dan PRN. Dengan itu, rakyat akan aman daripada pertelingkahan politik yang membawa ketidakstabilan negara. Politik toksik boleh dihentikan. Ia menganggu kestabilan negara.


Kelima, peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dan DUN hendaklah ditetapkan dengan adil. Jika Ahli Parlimen kerajaan mendapat peruntukan RM3 juta setahun, Ahli Parlimen pembangkang sekurang-kurangnya mendapat RM1.5 juta setahun. Ia berbeza kerana kedudukan mereka sebagai pihak kerajaan dan pembangkang. Sekurang-kurangnya pembangkang boleh bernafas dan mampu memberikan khidmat yang berkesan kepada pengundi di kawasan masing-masing.


Peruntukan pusat khidmat sama rata


Bagaimanapun, peruntukan untuk pusat khidmat hendaklah diberikan sama rata. Jumlah yang munasabah ialah RM50,000 sebulan untuk membayar sewa pejabat, pembelian peralatan, bil air dan elektrik dan gaji staf. Tidak ada bantuan tunai kerana ia terdedah kepada salahguna kuasa dan penyelewengan.


Keenam, dana pilihanraya setiap parti di setiap kawasan yang ditandingi hendaklah diisytiharkan secara telus kepada SPR.

Mungkin jumlah tertentu perlu ditetapkan supaya tidak berlaku pembelian undi atau politik wang. Garis panduan yang ketat mesti dipatuhi. SPR diberikan kuasa melucutkan kelayakan seseorang menjadi calon pilihanraya jika didapati melanggar peraturan.


Dengan itu, kita tidak perlu berpolitik sepanjang masa. Tumpuan kerajaan dan rakyat untuk berganding bahu bagi membangunkan negara dan negeri tidak terganggu.


Hanya kestabilan politiklah yang membolehkan negara kita maju dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Hanya dengan itulah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dapat berfungsi membangunkan negara dan memberikan khidmat terbaik untuk seluruh rakyat.

Hanya dengan itu sahajalah politik toksik dapat dihentikan dan demokrasi sebenar dapat dikembalikan.


Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.


*Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian Suara Keadilan

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page