Undi Tidak Percaya Boleh Dibuat di Luar Parlimen?


Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Yang di-Pertuan Agong ada kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Perdana Menteri Malaysia (Fasal (2)(a) Perkara 43). Tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak ada kuasa untuk singkir Perdana Menteri. Ini adalah di antara ciri penting dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di Malaysia.


Perdana Menteri Malaysia boleh disingkir di dalam Dewan Rakyat samada melalui usul Undi Percaya atau usul Undi Tidak Percaya menurut Fasal (4) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.


Usul undi percaya pernah dibuat di Dewan Rakyat sebaik sahaja Tun Hussein Onn dilantik sebagai Perdana Menteri ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. Usul tersebut dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Perdana Menteri Hussein Onn tidak ada masalah untuk mendapatkan undi percaya kerana Barisan Nasional menguasai majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat ketika itu.


Urusan kerajaan mematikan Undi Tidak Percaya


Selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan pada hujung bulan Februari 2020, Ahli-ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Pejuang, termasuk bekas Perdana Menteri ketujuh, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh.


Usul-usul Undi Tidak Peraya tersebut tidak pernah diberi kesempatan untuk dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kerana Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggunakan helah di bawah Peraturan 15 (1) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada uruan-urusan lain.


Jika Parlimen Malaysia dibuka semula sebelum atau selepas 1 Ogos 2021 ini, nasib yang sama akan dihadapi jika ada usul-usul tidak percaya dibawa oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Begitu juga, hampir tidak mungkin Kerajaan Perikatan Nasional akan membawa usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin di Dewan Rakyat setelah mereka belajar apa yang telah terjadi terhadap Menteri Besar Perak Faizal Azumu yang tewas dalam usul Undi Percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri Perak pada tahun 2020.


Jadi, timbul persoalan adakah Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin boleh dibuat di luar Dewan Rakyat?


Saya berpendapat, jawapannya boleh dilakukan, berdasarkan duluan (precedent) apa yang berlaku dalam Krisis Perlembagaan Menteri Besar Perak pada tahun 2009 dan duluan yang berlaku di Kedah pada tahun 2020.


Perak duluan kerajaan ditukar di luar Dewan


Di Perak, pada tahun 2009 Kerajaan Perak pimpinan Menteri Besar Nizar Jamaludin telah hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri apabila tiga orang ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat ketika itu melompat menyokong Barisan Nasional. Menteri Besar Nizar hilang sokongan majoriti. Beliau enggan meletak jawatan Menteri Besar. Nizar meminta Sultan Azlan Shah, Sultan Perak ketika itu supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri. Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri. Sebaliknya Sultan Perak mengambil inisiatif untuk menentukan sendiri sama ada Nizar mempunyai sokongan majoriti.


Apabila ternyata Nizar tidak ada sokongan majoriti maka Sultan Perak singkir Nizar sebagai Menteri Besar dan melantik Zambri Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru.


Krisis Menteri Besar Perak itu dibawa ke Mahkamah Tinggi dan kemudian atas rayuan dibicarakan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Dalam kes tersebut Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Undi Tidak Percaya boleh ditentukan dengan lain-lain cara, tidak semestinya melalui undian di dalam Dewan Undangan Negeri.


Di Kedah pula, pada tahun 2020, tidak lama selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, maka berlaku kejadian beberapa orang ahli Dewan Undangan Negeri PH melompat menyokong Perikatan Nasional yang terdiri daripada Pas, Bersatu dan Umno.


Menteri Besar Kedah ketika itu ialah Mukriz Mahathir telah hilang majoriti. Untuk mempastikan sama ada benar Mukriz telah hilang majoriti, maka proses menentukan Undi Tidak Percaya terhadap Mukriz dilakuan di luar Dewan Undangan Negeri iaitu di Istana Kedah, bukannya di dalam Dewan Undangan Negeri.


Berbeza dengan Nizar Jamaludin di Perak, Mukriz Mahathir di Kedah bersetuju meletakkan jawatan. Berlaku kekosongan jawatan Menteri Besar lalu Sultan Kedah melantik Sanusi dari Pas yang dipercayai mempunyai majoriti menjadi Menteri Besar Kedah yang baru.


Dua contoh duluan di Perak dan Kedah serta keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia dalam Kes Nizar Jamaludin melawan Zambri Abdul Kadir tersebut boleh menjadi rujukan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh mengambil inisiatif yang sama untuk menentukan sama ada sekarang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti menurut Fasal (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan yang sama yang digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 lalu.


PM baharu boleh dilantik jika cukup sokongan


Inisiatif ini boleh diambil oleh Yang di-Pertuan Agong sama ada ketika negara berada di dalam tempoh Darurat ataupun selepas Darurat tamat. Ia juga boleh dilakukan samada ketika Parlimen digantung ataupun Parlimen telah dibuka semula. Inisiatif menentukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong sekiranya baginda mempunyai bukti yang jelas bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan ahli Dewan Rakyat.


Apa yang dilakukan oleh Sultan Azlan Shah di Perak pada tahun 2009 dan Sultan Kedah pada tahun lepas boleh juga dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang sekiranya wujud fakta yang sama kerana undang-undang yang ada melalui keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Nizar lawan Zambri yang disebut di atas membenarkan proses menentukan undi tidak percaya boleh dilakukan di luar Parlimen.


__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
10,710
153
5778
Total
916,561
7019
784,949

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
491,381
8,692
392,980
Total
186,407,192
4,028,301
168,805,736

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER