top of page

UMNO N Sembilan jangan guna Institusi Adat sebagai tekanan politik - Mahfuz

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Susulan krisis di Negeri Sembilan, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan tindakan UMNO negeri itu menjadikan institusi istana sebagai alat tawar-menawar politik adalah tidak wajar dan perlu dihentikan.


Katanya, masyarakat di negeri berteraskan Adat Perpatih itu merupakan pencinta dan pengamal adat yang kuat, dengan tahap penghayatan yang tinggi dalam kehidupan seharian.


"Orang tidak mahu ia dipolitikkan dan dijadikan alat tawar-menawar untuk faedah-faedah politik seperti mana yang berlaku pada hari ini.


"Bagi rakyat, Institusi Adat mesti dihormati dan bukannya dijadikan senjata tekanan politik.


"Hari ini Institusi Adat dijadikan senjata untuk tekanan politik kepada Ketua Pentadbir (Menteri Besar), Datuk Seri Aminuddin Harun," katanya dalam satu siaran video.


Dalam pada itu, Mahfuz turut mengingatkan UMNO agar mengingat semula dua siri pilihanraya yang pernah berlaku di negeri tersebut yang memperlihatkan rakyat menolak UMNO yang bergerak secara solo sejak Pilihan Raya Umum 2018.


"Ingat sejarah.. dah dua kali dah (pilihanraya di Negeri Sembilan). Bermula dari 2018 rakyat secara solo tolak UMNO.


"Rakyat melihat bahawa adat di Negeri Sembilan ini tidak boleh dipolitikkan dan bagi rakyat Adat Perpatih bukan untuk menjadi alat tawar-menawar dalam politik," ujarnya lagi


Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan krisis kepercayaan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO terhadap Aminuddin hampir berakhir.


Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan, penyelesaian dijangka dimuktamadkan menerusi rundingan Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung minggu depan.


Ahmad Zahid juga menegaskan, tindakan 14 ADUN UMNO/BN menarik sokongan dan hilang kepercayaan kepada Aminuddin yang juga ADUN Sikamat itu hanya atas kapasiti Menteri Besar, tanpa berkait dengan Kerajaan Perpaduan di negeri tersebut.


Landskap politik di Negeri Sembilan secara tiba-tiba berdepan ketidaktentuan bermula 27 April lalu apabila UMNO-BN negeri itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin susulan krisis membabitkan Institusi Adat dan Perlembagaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page