UMNO Johor politik lama: DAP diserang setiap setiap pilihanraya
- Helmi Mohd Foad
- 1 hour ago
- 3 min read

Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor bahawa beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP sebagai bukti gaya politik lama yang bersandar kepada sentimen dan ketakutan masih belum berakhir dalam sebahagian kepimpinan UMNO negeri itu.
Menurut Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar (gambar), rakyat kini lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu ekonomi dan kos sara hidup berbanding retorik politik yang menjadikan DAP sebagai sasaran ketika musim pilihanraya.
"Kenyataan Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi bahawa beliau ‘lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP’ memperlihatkan betapa politik lama yang bersandar kepada sentimen dan ketakutan masih belum berakhir dalam sebahagian kepimpinan UMNO Johor," katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata rakyat Malaysia dan Johor waktu ini sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, ketidaktentuan global, kos sara hidup dan kebimbangan terhadap masa depan generasi muda.
"Namun malangnya, sebahagian pemimpin masih memilih memainkan retorik politik lama dengan menjadikan DAP sebagai ‘punching bag’ setiap kali pilihanraya tiba," katanya.
Mahfuz turut mempersoalkan pendirian UMNO yang menurutnya bercanggah antara kerajaan Persekutuan dan politik negeri.
"Kalau benar begitu jijik untuk ‘duduk semeja’ dengan DAP di Johor, mengapa pemimpin UMNO masih terus duduk semeja bersama pemimpin DAP dalam Kabinet Persekutuan setiap minggu?
"Bukankah Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang turut dianggotai DAP?
"Bukankah kerajaan hari ini dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Kerajaan Perpaduan yang disertai semua parti utama termasuk PH dan BN?" soal beliau.
Beliau mendakwa keadaan itu mengelirukan rakyat kerana terdapat perbezaan naratif yang dibawa di Putrajaya dan Johor.
"Di Putrajaya bercakap tentang kestabilan dan perpaduan. Di Johor pula memainkan naratif permusuhan dan ketakutan.
"Politik dua wajah seperti ini bukan tanda kekuatan tetapi tanda krisis dalaman yang masih gagal diselesaikan dalam UMNO sendiri," katanya.
Mahfuz berkata kenyataan seumpama itu juga menunjukkan wujud tekanan dalaman terhadap kepimpinan UMNO Pusat untuk kembali kepada politik lama yang bersandarkan sentimen sempit.
"Kenyataan seperti ini juga memperlihatkan adanya tekanan dalaman terhadap kepimpinan UMNO Pusat supaya kembali kepada politik lama yang bersandar kepada sentimen sempit demi mempertahankan sokongan Melayu.
"Malangnya, rakyat Johor hari ini sudah jauh berubah," katanya.
Menurut beliau, generasi muda kini mahukan penyelesaian terhadap isu pekerjaan, perumahan dan masa depan ekonomi negeri.
"Anak muda tidak lagi mahu politik yang asyik mencari musuh. Rakyat mahu jawapan tentang pekerjaan berkualiti, rumah mampu milik, pelaburan masa depan, teknologi, pendidikan dan kos hidup."
Beliau berkata Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negeri peneraju masa depan negara dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), logistik dan ekonomi digital.
Namun negeri itu tidak akan bergerak maju jika politiknya terus tersekat dalam propaganda lama.
Mahfuz turut menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika keadaan ekonomi global yang tidak menentu sebagai sesuatu yang mengecewakan.
"Ketika kerajaan MADANI sedang bekerja keras menyusun ekonomi negara dan melindungi kebajikan rakyat, Johor sekali lagi dibawa ke medan perebutan kuasa politik.
"Rakyat boleh menilai sendiri keutamaan sebenar sesetengah pemimpin," ujarnya.
Beliau menegaskan PH dan AMANAH membawa pendekatan politik yang lebih matang dan berorientasikan penyelesaian dan berpandangan jauh.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mahfuz menegaskan ia merupakan pertarungan antara politik masa depan dan 'politik semalam'.
"PRN Johor kali ini bukan sekadar soal siapa paling kuat menjerit di pentas politik. Ia adalah pertarungan antara politik masa depan melawan politik lama yang masih hidup atas sentimen dan ketakutan.
"Johor tidak perlukan lebih banyak drama politik bersiri. Johor perlukan kepimpinan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan berani membawa negeri ini melangkah ke hadapan," katanya lagi.
