Umno henti main politik kaitkan minit mesyuarat DKU - Aminuddin


Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendedahkan beliau tiada kuasa untuk mendedahkan minit mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) walaupun hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, Amiruddin menegaskan beliau turut tiada hak untuk meminta Setiausaha DKU menyerahkan minit mesyuarat mengenai pemecatan Undang Luak Sungei Ujong ketika itu, Datuk Mubarak Dohak pada 17 April lalu yang belum disahkan.
"Berulang-kali saya nyatakan bahawa saya hanya ahli yang turut hadir. Saya tidak punya kuasa untuk meminta supaya Setiausaha DKU menyerahkan minit mesyuarat yang belum disahkan oleh DKU.
"Isu ini tidak sepatutnya timbul dan diulang-ulang hanya kerana Menteri Besar menghadiri mesyuarat berkenaan dengan mengatakan pastinya Menteri Besar tahu apa butiran mesyuarat," katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti Sufian Maradzi mendesak supaya minit mesyuarat DKU Negeri Sembilan bertarikh 17 April dikeluarkan.
Ketua Penerangan Umno Negeri Sembilan itu turut mempertikaikan minit mesyuarat yang disifatkannya sebagai 'titik paling penting' dalam kemelut adat di Negeri Sembilan tidak dikemukakan ketika pertikaian baru sahaja bermula.
Sementara itu menurut Aminuddin, minit mesyuarat DKU adalah maklumat sulit yang hanya boleh dikeluarkan daripada klasifikasi sulit oleh DKU yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Justeru beliau mahu Umno, khususnya Sufian Maradzi membaca UUTK (Undang-Undang Tubuh Kerajaan) dan DKU sebelum mengeluarkan kenyataan.
"Semoga Umno sedar untuk menghentikan segala permainan politik dalam keadaan rakyat resah dan gelisah. Sila mula bekerja," tambahnya.




Comments