top of page

Umno-BN harus berundur jika tidak sehaluan – Mahfuz

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
13 hours ago
2 min read
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar

Umno-BN disifatkan sebagai ‘api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut’ dalam Kerajaan MADANI susulan tindakan parti itu yang didakwa tidak konsisten dalam kerjasama politik di peringkat Persekutuan dan negeri.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno-BN dilihat memilih untuk bekerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang Pakatan Harapan (PH) dalam tiga pilihan raya negeri (PRN), sedangkan pada masa sama masih menikmati kuasa dan jawatan dalam Kerajaan Persekutuan.


Beliau mempersoalkan sampai bila Umno-BN mahu meneruskan pendekatan politik dua kolam, iaitu menjadi rakan kerajaan di Putrajaya namun bekerjasama dengan pihak yang mahu menumbangkan Kerajaan MADANI di peringkat negeri.


"Ini bukan lagi sekadar perbezaan strategi pilihanraya. Ia menimbulkan persoalan serius tentang kejujuran, kesetiaan dan komitmen Umno-BN terhadap persefahaman yang membentuk Kerajaan MADANI," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu, keadaan tersebut lebih janggal apabila Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Katanya, perbezaan pandangan sememangnya hak dalam demokrasi, namun seorang Timbalan Perdana Menteri turut mempunyai tanggungjawab memelihara kepercayaan dan kestabilan kerajaan yang dipimpin bersama.


Mahfuz berpandangan sudah tiba masanya Umno-BN membuat keputusan jelas berhubung kedudukan dan hala tuju politiknya dalam Kerajaan MADANI.


Katanya, jika Umno-BN lebih selesa menjadikan Pas dan PN sebagai rakan politik untuk menghadapi PH, parti itu perlu berani menerima implikasi daripada pilihan berkenaan.


"Jangan terus menumpang kuasa di Putrajaya sambil membina kekuatan politik bersama pihak yang mahu menumbangkan rakan kerajaan sendiri.


"Jangan bebankan Perdana Menteri untuk memecat mereka. Jika Umno-BN yang memilih jalan berbeza, Umno-BN sendirilah yang perlu berani mengambil tanggungjawab dan berundur dengan bermaruah," katanya.


Mahfuz menegaskan Umno-BN perlu bertanggungjawab terhadap pendirian politiknya dan tidak terus berada dalam kerajaan sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan pentadbiran sedia ada.


"Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar," sinisnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page