Oleh: Hassan Abdul Karim
(Suatu catatan peribadi di barisan hadapan)
Hari ini 9 haribulan Mei 2020 merupakan ulangtahun kedua kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang telah menjadi kerajaan selama 61 tahun sejak Merdeka.
Walaupun Kerajaan PH di peringkat Persekutuan tidak dapat bertahan lama kerana telah tumbang pada 24 Februari 2020 angkara Tun Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri secara mengejut; dan Muhyiddin Yassin menarik keluar Parti Bersatu dari PH; serta Azmin Ali dan puaknya meninggalkan PKR dan PH; tetapi kemenangan PH pada 09 Februari 2018 mempunyai nilai sejarah yang penting dan patut diingati.
Tarikh 9 Mei 2018 membawa makna bahawa melalui peti undi, rakyat boleh menukar kerajaan. Walaupun lima tahun sekali mengundi, tetapi rakyat mulai sedar bahawa mereka ada kuasa politik sebenarnya, untuk mengubah kerajaan.Syaratnya pilihanraya dilaksanakan secara bersih dan adil.
Pegang dua tanggungjawab
Pada 9 haribulan Mei 2018 aku berada di barisan hadapan, iaitu di Pasir Gudang, di kubu kuat Umno dan BN. Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas. Manakala aku menjadi calon PH dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi Parlimen Pasir Gudang, satu kawasan perindustrian yang besar di selatan Semenanjung.
Aku memegang dua tanggungjawab yang besar di dalam Pilihanraya Umum 9 Mei 2018 itu. Pertama sebagai calon parlimen. Kedua, sebagai Pengerusi KEADILAN Johor merangkap salah seorang Timbalan Pengerusi PH Negeri Johor. Pengerusi PH Johor ketika itu ialah Muhyiddin Yassin. Aku telah berusaha sebaik yang mungkin untuk memenangkan PH di Johor.
Bersama-sama Muhyiddin Yassin dan lain-lain pemimpin PH dari Amanah, DAP dan PPBM seperti Hj Aminolhuda, Sallehudin Ayob, Liew Chin Tong, Gan Peck Chen, Osman Sapian, Mazlan Bujang, Jimmy Puah, Kuzan Abu Bakar, dan Akmal Nasir sekadar menyebut beberapa nama, kami jelajahi semua ceruk dan rantau negeri Johor. Tiada tanjong yang kami tidak sampai. Tidak ada teluk yang kami abaikan. Ke sungai, ke Parit, ke Bukit semuanya kami jejaki untuk berkempen pilihan raya yang hebat, seakan ibu segala pilihanraya.’’Do or die’’ missi kami.
Jangan kalah kerana ditipu
Selepas berkempen dengan bersungguh-sungguh, aku lalu berserah dan bertawakkal. Tetapi sebelum berserah kepada takdir, aku menyeru kepada semua ketua cabang KEADILAN dan pemimpin KEADILAN Johor terutama calon-calon supaya sentiasa berjaga-jaga dan waspada. Pesanku: "jangan kita kalah kerana ditipu’’. Aku selalu mengingatkan.
Pada malam 9 haribulan Mei 2018, aku berada di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG). Stadium tertutup itu menjadi tempat penjumlahan undi bagi Pilihanraya kawasan Parlimen P.159 Pasir Gudang, DUN N.42 Johor Jaya dan DUN N.43 Permas.
Di dalam Stadium itu, aku dikelilingi oleh para penyokong KEADILANPasir Gudang. Kami seakan sudah dapat merasa bahawa kemenangan mungkin dapat dicapai. Tetapi proses penjumlahan undi di stadium tertutup MPPG itu berjalan terasa lambat.
Melalui telephon bimbit aku mendapat makluman, satu demi satu kerusi Parlimen yang ditandingi oleh KEADILAN di Johor beroleh kemenangan. Di Parlimen Segamat, KEADILAN menang. Di Parlimen Sekijang, KEADILAN menang. Kemudian di Ledang, Batu Pahat, Tebrau dan Johor Bahru, semua kerusi Parlimen yang ditandingi oleh KEADILAN beroleh kemenangan. Hanya di Parlimen Sembrong, KEADILAN tewas.
Tunggu lampu hijau umum keputusan
Tetapi di Parlimen Pasir Gudang, proses penjumlahan undi itu terputus-putus, nampaknya. Ada sesuatu macam tidak kena. Aku bawa bertenang. Aku sedar calon BN yang aku tentang dalam pilihan raya itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Keputusan tidak rasmi di layar skrin yang besar menunjukkan aku telah mendahului calon BN itu jauh di hadapan. Tetapi Pegawai Pengurus Pilihan raya masih menunggu-nunggu ‘’green light’’ daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya untuk membuat pengumuman rasmi.
Tepat pada pukul 1.20 pagi pada 10 haribulan Mei 2018 aku dijemput oleh Pengurus Pilihan raya P.159 Pasir Gudang untuk naik ke atas pentas. Aku diisytiharkan menang bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang mengalahkan calon BN Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Kemenangan itu agak besar dengan majoriti sebanyak 24,700 undi. Calon PH dari parti PPBM Datuk Che Zakaria Mohd Salleh juga menang di DUN Permas mengalahkan Mohamed Khaled Nordin. Begitu juga calon PH dari DAP, Liew Chai Tong mengalahkan calon BN dari MCA. Di Pasir Gudang PH 3 dan BN 0.
Selepas beroleh kemenangan itu, aku ingat pada Tuhan yang telah mengizinkan kemenangan besar itu. Aku bersama para penyokong KEADILAN segera bergerak ke Pejabat Cabang KEADILAN Pasir Gudang di Jalan Betik, tidak jauh dari Stadium MPPJ tersebut. Di sana aku melakukan Sujud Syukur kepada Allah.
Pengkhianatan punca kejatuhan
Aku berasa kecil diri dan rendah hati dengan kemenangan yang besar itu di usiaku yang telah tua. Allah telah memberikan kemenangan kepada diriku, kepada KEADILAN Johor dan PH Johor sehingga PH berjaya membentuk kerajaan di negeri Johor dan juga Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. PH menang 18 daripada 26 kerusi parlimen di Johor ( PKR:7, PPBM: 5, DAP: 5 dan Amanah:1). Manakala bagi Dewan Undangan Negeri, PH menang 39 daripada 56 kerusi DUN di Johor (DAP:14, Amanah: 11, PPBM:9 dan KEADILAN : 5).
Pada ulangtahun kedua kemenangan PH terhadap BN dalam PRU-14 pada, 9 Mei 2018, sebagai seorang manusia yang ada kelemahan diri, aku mengaku bahawa aku masih berasa sedih dan marah terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh dua orang ahli parlimen KEADILAN di Johor dan seorang ADUN di Johor yang telah belot dan memihak kepada musuh sehingga kerajaan PH di Persekutuan di Putrajaya dan kerajaan PH di Johor di Kota Iskandar tumbang pada akhir bulan Februari 2020 yang lalu.
Walau apa pun yang telah berlaku, perjuangan rakyat, perjuangan untuk reformasi yang tulen akan diteruskan. Perjuangan untuk keadilan tidak boleh berhenti.
Kita tidak akan menyerah kalah.
Membujur lalu; melintang patah.
Lawan tetap lawan.
Lawan sampai menang.
__________________________________________________________________________________
Hassan Karim merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang
Comentários