Reformasi tatakelola NAFAS tunjuk hasil positif – Mohamad Sabu
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa usaha reformasi tatakelola Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang dimulakan sejak setahun lalu kini mula menunjukkan perkembangan yang positif.
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan dalam satu taklimat khas yang diterimanya hari ini berhubung kedudukan semasa serta hala tuju NAFAS.
"Alhamdulillah, selepas setahun kita memulakan usaha reformasi tatakelola NAFAS, beberapa langkah penambahbaikan dalam operasi dan pengurusan kewangan sudah mula menampakkan hasil yang positif," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata, antara pencapaian utama reformasi tersebut ialah penstrukturan semula proses perolehan yang sebelum ini didapati tidak teratur berdasarkan dapatan audit.
"Beberapa dapatan audit berkaitan proses perolehan yang sebelum ini tidak teratur juga telah berjaya disusun semula mengikut tatacara korporat yang lebih kemas dan telus," jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan bahawa reformasi yang dilaksanakan bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya demi menjaga kepentingan peladang di seluruh negara.
"Kita kena sentiasa ingat, NAFAS ini milik peladang. Reformasi ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, apatah lagi peladang. Ia dibuat demi menjaga kepentingan dan masa depan lebih 600,000 ahli peladang di seluruh negara," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa slogan ‘Dari Peladang, Untuk Peladang’ bukan sekadar ungkapan simbolik, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul bersama oleh semua pihak yang terlibat dalam NAFAS.
"Itu bukan sekadar hiasan kata. Itu amanah kita bersama," katanya lagi.









Comments