Pasca PRK Sabah: Strategi Bergerak Secara Solo Tidak Lagi Relevan
- Suara Keadilan

- 39 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Isu tentang politik setiap hari terus diperdebat dan dibincangkan, tidak kiralah sama ada di warung kampung, mahupun di alam siber.
Antara isu hangat pada waktu ini adalah kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah baru-baru ini. Apakah impak daripada kemenangan tersebut? Apakah masih ada lagi suara suara yang mahukan UMNO terus bertanding secara solo, walaupun pada hakikatnya ini merupakan sesuatu yang agak sukar dilakukan jika berpandukan pada lanskap politik hari ini.
Sebenarnya, cadangan bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 sebagaimana dilaungkan sejak kebelakangan ini adalah langkah berisiko tinggi dan boleh menjadi boomerang, terkena pada batang hidung UMNO sendiri.
Politik Kerajaan Perpaduan
Jika kita imbas kembali, landskap politik Malaysia pasca PRU ke-15 memperlihatkan perubahan ketara dalam pola pembentukan kerajaan, khususnya melalui kemunculan Kerajaan Perpaduan.
Dinamika politik kontemporari di Malaysia dicirikan oleh perubahan struktur kuasa yang ketara, khususnya selepas tiada lagi dominasi satu parti secara mutlak. Fenomena ini menandakan realiti baharu politik Malaysia, iaitu ketiadaan “rakan politik kekal” atau “musuh politik kekal”, sebaliknya kerjasama pragmatik demi pembentukan kerajaan yang stabil.

Inilah yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Madani. Politik hari ini adalah stablil dan rakyat pastinya tidak mahu lagi melihat kekecohan pertukaran kerajaan yang pernah berlaku sepanjang 2020 - 2022 lalu.
Sabah rujukan politik koalisi
Apa kata kita rujuk Sabah sebagai model Politik Koalisi. Sabah sering dijadikan contoh paling jelas terhadap amalan politik koalisi di Malaysia. Dalam konteks ini, parti-parti politik yang bertanding secara kompetitif dalam pilihan raya negeri November 2025 lalu sanggup bekerjasama pasca pilihanraya demi membentuk kerajaan. Kesedaran bahawa tiada satu parti mampu memperoleh majoriti mudah mendorong kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai solusi politik yang rasional dan inklusif. Inilah hakikatnya.
Bagaimana dengan kedudukan UMNO? Kita semua tahu, satu ketika dahulu UMNO-BN begitu dominan sekali, bahkan pernah merasai zaman “unbeatable”. Namun sejarah juga mengajar kita, tidak ada parti yang kekal berkuasa selama lamanya. Zaman dominasi sudah berakhir.
UMNO-BN yang secara tradisional berakar di kawasan majoriti Melayu, kini berhadapan persaingan sengit khasnya daripada Pas dan Bersatu. Strategi solo tidak lagi menjamin kemenangan. Kerjasama strategik dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada KEADILAN, AMANAH, dan DAP bukanlah kelemahan. Sebaliknya, gabungan ini merupakan kunci untuk terus kekal relevan dan berpengaruh dalam politik Malaysia yang kompetitif hari ini.
Bergerak solo merugikan
Dalam konteks ini, strategi politik bergerak solo masuk pilihanraya terbukti tidak lagi berkesan, sebagaimana yang ditunjukkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri Selangor pasca PRU-15 lalu. Keputusan tersebut memperlihatkan keperluan mendesak bagi UMNO-BN membentuk kerjasama strategik bersama PH bagi mengekalkan daya saing politik dan kestabilan pemerintahan.
Dalam membincangkan isu, kita perlu juga melihat kepada prestasi Kerajaan Madani. Selepas tiga tahun memerintah, Kerajaan Perpaduan MADANI menunjukkan prestasi yang positif berbanding beberapa era pentadbiran terdahulu, khususnya dari sudut kestabilan politik dan pemulihan ekonomi. Kerajaan ini telah memperkenalkan pelbagai inisiatif tadbir urus yang menekankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan dalam perkhidmatan awam.
Usaha berterusan dalam memerangi rasuah dan membanteras pengaruh kartel telah berjaya memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa. Antara pencapaian signifikan ialah kejayaan mendapatkan semula sejumlah besar dana haram, dianggarkan bernilai RM15.5 bilion, dengan potensi pemulihan tambahan pada masa hadapan.
Malaysia di landasan kestabilan
Dari perspektif ekonomi makro, Malaysia kini berada pada landasan yang lebih stabil. Pengukuhan nilai ringgit serta peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju dasar ekonomi dan kestabilan politik negara. Petunjuk-petunjuk ini menunjukkan bahawa Malaysia sedang berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan mampan.
Kerajaan Perpaduan MADANI telah buktikan bahawa kestabilan politik dan pemulihan ekonomi boleh dicapai melalui konsensus. Nilai mata wang ringgit mengukuh, pelaburan asing meningkat, imej negara dipulihkan. Semua ini menunjukkan bahawa politik pintar adalah politik yang bekerjasama, bukan bertindak bersendirian.
Itu sebabnya kesinambungan politik dan kepimpinan adalah penting dan mesti diteruskan. Bagi memastikan kesinambungan reformasi institusi, kestabilan politik dan pembangunan ekonomi jangka panjang, kerjasama Kerajaan Perpaduan perlu diteruskan untuk tempoh yang lebih panjang. Dalam konteks ini, kesinambungan kepimpinan Perdana Menteri semasa (PMX) dianggap penting bagi menjamin kelangsungan agenda pembaharuan dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan global.
Kesimpulannya, UMNO perlu faham realiti bahawa masa depan parti ini bergantung kepada kemampuannya menyesuaikan diri dengan era politik baharu. Bertanding solo dalam pilihanraya sudah tidak relevan. Politik hari ini bukan tentang siapa terkuat sendirian, tetapi siapa bijak membina jaringan perpaduan demi rakyat dan negara.
Penulis merupakan penganalisis politik bebas dan Pengerusi Biro Kepimpinan Dan Pentadbiran Negara MPM









Comments