top of page

MyCC, JWP meterai kerjasama banteras kartel tipu bida perolehan awam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 55 minutes ago
  • 2 min read

LoU kerjasama antara MyCC dan JWP membanteras kartel tipu bida perolehan awam ditandatangani disaksikan oleh Menteri KPDN Datuk Armizan dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh
LoU kerjasama antara MyCC dan JWP membanteras kartel tipu bida perolehan awam ditandatangani disaksikan oleh Menteri KPDN Datuk Armizan dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh

Oleh: Helmi Foad


Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menjalin kerjasama strategik bagi memperkukuh pelaksanaan agenda kerajaan dalam membanteras amalan antipersaingan, khususnya kartel dan pakatan tipuan bida dalam perolehan awam.


Kerjasama tersebut dimeterai menerusi pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) antara MyCC, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan JWP.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, kerjasama itu mencerminkan pendekatan serius kerajaan dalam menambah baik tadbir urus perolehan awam.


"Kerjasama strategik ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membanteras kewujudan kartel dan mengekang amalan tipuan bida yang menjejaskan kecekapan perbelanjaan awam," katanya dalam kenyataan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali hari ini.


LoU berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah JWP Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dan Pengerusi MyCC Tan Sri Idris Harun dengan disaksikan oleh Hannah serta Armizan.


Menurut MyCC, LoU itu merangkumi beberapa skop utama kerjasama termasuk penyediaan khidmat nasihat dan laporan penilaian awal berkaitan unsur tipuan bida dalam perolehan, selain pelaksanaan latihan secara berkala kepada pegawai perolehan.


Mengulas perkara itu, Armizan berkata kerjasama antara agensi merupakan elemen penting dalam meningkatkan keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan.


"Pendekatan seluruh kerajaan atau whole of government amat penting bagi memastikan aktiviti kartel dan amalan antipersaingan dalam perolehan awam dapat dibanteras secara menyeluruh dan berkesan," katanya.


JWP turut memberi penekanan serius terhadap isu kartel tipuan bida dan komited untuk menyalurkan maklumat serta membuat laporan kepada MyCC sekiranya terdapat sebarang petunjuk perlakuan antipersaingan.


Kerjasama strategik ini melibatkan semua agensi di bawah kawal selia JWP termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.


"Pemeteraian LoU ini merupakan kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang telus, cekap dan berintegriti, sekali gus mencegah ketirisan serta pembaziran," katanya.


Sejak digerakkan pada September 2025, MyCC telah memeterai empat LoU bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan dalam perolehan awam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page