Ulama perlu tampil betulkan kerosakan masyarakat – Ust Fakhrulrazi
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Golongan ulama diseru tampil ke hadapan memperbetulkan kerosakan yang berlaku dalam masyarakat.
Mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, tanggungjawab ulama meluas dan tidak terhad kepada pihak tertentu yang mereka sokong.
"Sudah tiba masanya para ulama tampil ke hadapan untuk memperbetulkan kerosakan yang telah berlaku dalam masyarakat.
"Tanggungjawab ulama bukan sekadar mempertahankan kepentingan kelompok atau kepentingan politik, tetapi membimbing umat kembali kepada iman, ilmu, keadilan dan jalan yang benar," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut beliau, masyarakat ketika ini amat memerlukan ulama yang berani menyampaikan kebenaran tidak mengira dari garis perjuangan mana.
"Umat amat memerlukan ulama yang berani berkata benar, walaupun kebenaran itu tidak menyebelahi mana-mana pihak.
"Janganlah agama dijadikan alat untuk menguatkan kepentingan politik, perpecahan atau hawa nafsu manusia," katanya.
Fakhrulrazi turut menegaskan bahawa sebarang kesilapan atau kerosakan yang berpunca daripada tindakan dan pandangan sebahagian ulama perlu diperbetulkan berdasarkan ilmu, keikhlasan serta keberanian.
Beliau yang pernah menganggotai Pemuda Pas sebelum menyertai KEADILAN mengingatkan supaya istilah ulama su’ tidak digunakan secara sewenang-wenangnya untuk menghukum seseorang individu sebagaimana yang berlakun pada hari ini.
"Jika terdapat kesilapan dan kerosakan yang lahir daripada tindakan atau pandangan sebahagian ulama, maka ia hendaklah diperbetulkan dengan ilmu, keikhlasan dan keberanian.
"Istilah ulama su’ juga jangan digunakan secara sembarangan untuk menghukum individu; penilaian hendaklah berdasarkan ilmu, akhlak, amanah dan kesetiaan kepada kebenaran," katanya.
Menurutnya, ulama sepatutnya meletakkan kepentingan Allah dan kebenaran mengatasi kepentingan politik, kedudukan serta kelompok masing-masing.
"Hari ini umat memerlukan ulama yang mengutamakan Allah dan kebenaran di atas kepentingan politik, kedudukan dan kelompok.
"Ulama hendaklah menjadi penyatu umat, pembela keadilan dan pembimbing kepada jalan yang diredai Allah," katanya.
Tegas Fakhrulrazi, peranan ulama yang paling penting adalah memastikan agama tidak diperalatkan untuk kepentingan politik atau menjadi punca perpecahan dalam kalangan masyarakat.




Comments