
Oleh: Akmal Manaf
Malaysia bakal 'membawa pulang' impak positif dalam ekonomi negara melalui rundingan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan United Kingdom (UK).
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali menyifatkan kejayaan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan itu dengan penyertaan UK ke dalam CPTPP akan meningkatkan ekonomi rantau Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
Begitu juga, katanya impak daripada lawatan PM di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
''Sebelum ini beliau ke Emiriah Arab Bersatu dan berunding dengan pemerintah di sana.
''Malah, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) juga telah bersetuju untuk menambah pelaburan mereka di Malaysia.
''Imej Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin sangat dihormati dalam dunia Islam mahupun Barat.
''Oleh itu, saya berpandangan setiap perundingan membabitkan Datuk Seri Anwar akan mendapat impak yang cukup positif terutamanya dari negara Barat,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai hasil lawatan Presiden KEADILAN itu ke UK baru-baru ini daripada segi imej kepimpinan dibawa oleh PM Anwar.
Terdahulu Pengerusi Pengerusi Institut Kajian Strategik (ISIS), Prof Dr Mohd Faiz Abdullah dalam tulisannya di Bernama berkata, perjanjian CPTPP antara Malaysia yang mempengerusikan ASEAN dan UK akan memberi nilai tambah penting kepada ekonomi negara Eropah berkenaan serta rantau Asia Tenggara.
"Keputusan pantas ini mencerminkan pengiktirafan ASEAN terhadap sumbangan substantif dan nilai strategik UK. Jika ASEAN tidak menganggap UK menawarkan faedah yang besar, permohonan itu sudah pasti akan kekal dalam senarai menunggu.
"Tetapi mungkin langkah paling muktamad untuk menyatukan UK dengan rantau sebelah sini datang pada Disember lalu, apabila ia menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP)," katanya dipetik.
Meskipun keadaan ekonomi UK agak merosot pada waktu ini, namun kata Dr Mohd Faiz, negara itu masih mempunyai prospek jangka panjang terutama berkaitan teknologi baharu dan syarikat multinasional sedia ada yang masih mampu menggerakkan ekonomi.
"Ahli perniagaan dan pelabur institusi kelihatan yakin tentang prospek jangka panjang negara (UK), sentimen yang menjelaskan mengapa 11 negara lain dalam CPTPP mengalu-alukan UK sebagai ahli pertama dari luar Lingkaran Pasifik.
"Ini mewujudkan peluang bagi Malaysia untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang sedia kukuh dengan UK," katanya lagi.
Commentaires