top of page

Sultan Selangor sokong pendirian PM henti bina rumah ibadat tanpa kebenaran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Sultan Selangor menzahirkan sokongan penuh terhadap pendirian tegas kerajaan berhubung keperluan menghentikan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang didirikan tanpa kelulusan sah pihak berkuasa, demi memelihara keharmonian dan keselamatan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini.


Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, baginda sentiasa menekankan setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang sah serta mendapat kelulusan kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain mematuhi perundangan dan garis panduan yang telah ditetapkan.


"Sebarang pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah termasuk yang melibatkan pencerobohan ke atas tanah kerajaan atau persendirian, boleh menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama dan seterusnya mengancam keselamatan serta keharmonian negeri dan negara," menurut kenyataan itu.


Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar, kanan) turut mengingatkan kerajaan dan PBT agar sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.


Aspek pemantauan juga perlu diperkasakan bagi membanteras pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah kerajaan dan tanah persendirian, kata kenyataan itu.


Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor menegaskan isu pembinaan kuil tanpa kebenaran perlu dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia telah lama menimbulkan keresahan kepada pelbagai pihak serta menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.


Baginda turut dimaklumkan mengenai statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di Selangor sehingga 31 Januari lalu adalah sebanyak 687 buah kuil, dengan 388 daripadanya dibina di atas tanah milik kerajaan manakala 299 buah lagi di atas tanah milik persendirian.


Menurut kenyataan itu, jumlah berkenaan adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor yang dianggarkan sekitar 11.3 peratus dan statistik tersebut tidak termasuk kuil-kuil yang telah dibina secara sah dengan kelulusan pihak berkuasa negeri.


Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa pendirian Kerajaan Persekutuan seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah selari dengan prinsip serta pendekatan yang sentiasa ditekankan Sultan Selangor iaitu memastikan setiap pembangunan dilaksanakan mengikut undang-undang, tadbir urus yang baik serta selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang.


Semalam, Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa kerajaan tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang didirikan tanpa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada, sambil menekankan keperluan menyelesaikan isu berkenaan secara adil, berperlembagaan dan berlandaskan prinsip keharmonian masyarakat majmuk.


Pendirian itu kemudiannya ditegaskan sekali lagi apabila Perdana Menteri menghadap Sultan Selangor pada 8 Februari lalu, dengan kedua-dua pihak sependapat bahawa ketegasan berlandaskan undang-undang adalah penting bagi mengelakkan isu agama daripada dieksploitasi sehingga menjejaskan keamanan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page