top of page

Kerajaan bakal pinda akta beri peluang kedua pulih kehidupan penjenayah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang dalam perancangan untuk meminda Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969 bagi memberi peluang kedua kepada mereka yang terlibat.


Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, akta tersebut merupakan punca kuasa perundangan untuk mendaftarkan individu yang telah disabitkan dengan kesalahan-kesalahan dalam daftar penjenayah.


"Saya telah bentangkan kepada Jemaah Menteri dan Jemaah Menteri telah bersetuju pada 21 Mei 2025 bahawa KDN boleh memulakan usaha untuk meminda akta ini.


"Pindaan ini tentunya bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang terlibat dan kita mahu terjemahkan nilai ihsan, keadilan sosial dalam semangat MADANI.


"Antara komponen penting dalam pindaan ini nanti ialah kita mahu memperkenalkan mekanisme ‘SPENT’ atau dalam bahasa kita paling hampir ialah nyahaktif, bagi membolehkan mereka yang terlibat itu yang tidak melakukan kesalahan baru dalam tempoh munasabah," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu adakah kementerian bercadang untuk menghapuskan rekod-rekod bekas banduan bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan.


Saifuddin berkata, tempoh yang munasabah itu adalah tempoh yang boleh dianggap sebagai tiada rekod.


"Apabila dia selesai menjalani hukuman atau selesai membayar kompaun dan dalam satu tempoh dia tidak mengulangi kembali kesalahannya (tempoh munasabah), dia boleh dianggap sebagai tiada rekod (jenayah) melainkan dia melakukan kesalahan serius.


"Jadi mekanisme peluang kedua ini kita turut ambil kira beberapa amalan baik sebagai penanda aras antarabangsa. Kita semak negara seperti United Kingdom (UK), Singapura, Brunei dan Australia (yang sedang kita lakukan sekarang) yang membenarkan pengecualian rekod jenayah tertentu selepas tempoh bebas jenayah dan tertakluk kepada syarat.


"Cadangan ini sekarang berada di peringkat semakan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan saya bercadang untuk membentangkan pada sesi Parlimen tahun ini juga," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page