KBS komited perkukuh aspek pembangunan belia - Dr Taufiq
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai laluan utama pembangunan modal insan belia selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK).
Menterinya, Dr Mohamed Taufiq Johari berkata, dalam aspek pembangunan belia, penubuhan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri l, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berperanan sebagai platform bagi memperkemaskan sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan belia agar lebih tersusun, lebih berfokus dan berimpak tinggi.
"Matlamatnya adalah untuk merancang pembangunan anak muda agar lebih produktif dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan sosio ekonomi negara.
"Seiring dengan itu, pelaksanaan had umur belia antara 15 hingga sebelum mencapai 30 tahun yang berkuatkuasa mulai 1 Januari tahun ini merupakan satu reformasi struktur yang amat penting.
"KBS akan terus melaksanakan penilaian berterusan bagi melihat bahawa pelaksanaan ini benar-benar memberikan impak dan yang paling penting adalah kita melahirkan lebih ramai lagi belia, anak muda, pemimpin yang boleh kita dapat (bangunkan) sejak dari awal lagi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perbahasan sama, Ahli Parlimen Sungai Petani itu turut menyentuh mengenai pencapaian skuad negara ketika berjuang di pentas Sukan SEA Thailand tahun lalu.
"Kita lihat pencapaian kontinjen negara di Sukan SEA Thailand 2025 amat membanggakan Di temasya sama, kita meraih 231 pingat secara keseluruhan dan temasya Sukan Para ASEAN ke-13 (pula kita raih) kutipan 201 pingat.
"Kedua-dua temasya ini sebenarnya telah melebihi sasaran yang kita ditetapkan.
"Insya-Allah kita akan terus memperkasakan sukan dalam negara dan sukan ini akan menjadi salah satu produk atau wadah untuk kita sama-sama memastikan ia menjadi kebanggaan negara," ujar Taufiq yang juga Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia.









Comments