Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital menilai struktur pasaran, amalan perniagaan
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini telah melancarkan Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian tersebut dilaksanakan sejajar dengan kefungsian KPDN untuk mewujudkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang mampan dan progresif khususnya kepentingan pasaran yang adil dan sihat sekali gus melindungi pengguna.
"Kajian ini penting bagi menilai struktur pasaran serta amalan perniagaan dalam sektor ekonomi digital yang berpotensi memberi kesan terhadap ekosistem persaingan, pilihan pengguna, harga barangan dan perkhidmatan serta percukaian di Malaysia.
"Kajian selama 18 bulan yang dilaksanakan bermula pada Julai 2024 ini memfokuskan kepada empat bidang utama iaitu sistem pengendalian mudah alih dan perkhidmatan pembayaran, platform e-dagang runcit (Retail Marketplace), perkhidmatan pengiklanan digital dan agensi pelancongan dalam talian atau online travel agencies (OTA)," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis pelancaran telah berlangsung di sebuah hotel di ibu negara dan dihadiri kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada wakil kementerian dan agensi kerajaan, pemain industri, pertubuhan pengguna dan institusi akademik.
Menurut Armizan lagi, kajian itu penting bagi menilai struktur pasaran serta amalan perniagaan dalam sektor ekonomi digital yang berpotensi memberi kesan terhadap ekosistem persaingan, pilihan pengguna, harga barangan dan perkhidmatan serta percukaian di Malaysia.
Katanya, kajian berkenaan turut memberi fokus kepada isu privasi dan perlindungan data yang terkandung dalam keempat-empat bidang tersebut.
"Antara dapatan kajian ini menunjukkan bahawa terdapat amalan tertentu oleh platform digital yang berpotensi menjejaskan persaingan yang adil dan seterusnya memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat serta daya saing perniagaan tempatan, terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Ini termasuk struktur komisen yang tinggi, terma kontrak yang bersifat menyekat, ketelusan terhad dalam mekanisme penetapan harga dan kawalan ke atas data pengguna.
"Sehubungan itu, MyCC mencadangkan beberapa tindakan konkrit, antaranya penubuhan pasukan khas pasaran ekonomi digital di bawah pendekatan whole-of-government bagi membolehkan Kerajaan menangani jurang pengawalseliaan pasaran ekonomi digital dengan lebih berkesan," katanya.









Comments