top of page

Hak asasi untuk himpunan aman, himpunan provokasi tidak dibenar Islam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Pejuang hak asasi manusia dalam isu menangani kumpulan anti rumah ibadat tidak ikut peraturan perlu berpijak pada realiti semasa, dan tidak menyalahkan kerajaan melaksanakan langkah pencegahan dengan menahan beberapa individu yang berpotensi melakukan provokasi berunsur 3R (kaum, agama, raja) baru baru ini.


Menurut Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar), kerajaan mempunyai mekanisme tersendiri untuk menyelesaikan isu berkaitan rumah ibadat yang telah terbukti berjaya.


Sebaliknya beliau mendakwa pendekatan yang terlalu memainkan isu agama oleh individu seperti Zamri Vinoth dan rakan-rakannya tidak membantu menyelesaikan isu berkenaan.


"Di Selangor ini (sebagai contoh), kita ada Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) dan tak silap saya LIMAS telah berjaya menyelesaikan lebih daripada 20 pertikaian berkaitan dengan pembinaan rumah ibadat.


"Ini menunjukkan bahawa kita ada cara kita yang tersendiri dan terbukti berjaya untuk menjamin kestabilan dan keharmonian masyarakat," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pejuang hak asasi manusia yang masih membantah penahanan Zamri Vinoth dan beberapa orang, walhal himpunan yang cuba dianjurkan mereka didakwa berunsur provokasi.


Perkara itu berbeza jauh dengan himpunan anjuran Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang dahulu, misalnya Bersih yang memperjuangkan pilihanraya adil tanpa menyentuh isu kaum atau agama.


Mengulas lanjut, Amidi berkata, hak asasi manusia tidak memberi manfaat sekiranya pelaksanaannya menjerumuskan masyarakat ke dalam pertembungan atau pergaduhan.


Tegas beliau, dari sudut maqasid bernegara pula, menjaga kestabilan merupakan antara matlamat terpenting dalam pembinaan negara.


"Inilah yang dibawa oleh Rasulullah pada mula penghijrahan Baginda ketika mahu menubuhkan kerajaan di Madinah yang mana Baginda amat mementingkan kestabilan dan keharmonian, bukannya hak asasi manusia semata-mata.


"Di sini, ada keseimbangan antara hak individu dan masyarakat. Jadi dalam Islam kita biasanya akan melihat maslahah yang lebih besar berbanding dengan hak peribadi seseorang yang dikenali sebagai maslahah ammah (maslahah masyarakat)," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page