top of page

Penyokong, ahli Pas nilai semula ketaatan, ketakutan dalam parti - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyeru ahli dan penyokong Pas agar menilai semula rasa gentar yang dikaitkan dengan kedudukan mereka bersama perjuangan Islam parti berkenaan.


Dalam satu surat terbuka, Mahfuz berkata, pilihan politik tiada kena mengena dengan iman yang dikaitkan dengan mana mana siasah politik.


Menurut Mahfuz, surat terbuka beliau tidak bertujuan memujuk atau menghukum sebaliknya lahir daripada rasa hormat terhadap keikhlasan dan ketakwaan ahli parti itu.


"Saya tahu di dalam Pas ada ramai insan yang ikhlas, taat, dan takut kepada Allah.


"Ramai antara kalian kekal bertahan bukan kerana benci orang lain, tetapi kerana takut berdosa, takut silap jalan, takut dimurkai Tuhan.


"Ketakutan itu lahir daripada iman dan iman itu sesuatu yang mulia," katanya.


Namun Mahfuz membangkitkan persoalan susulan kenyataan Presiden Pas bahawa pertembungan Pas dan UMNO selama berpuluh tahun bukanlah isu akidah, sebaliknya hanya isu pendekatan politik.


"Jika hari ini Presiden Pas sendiri telah menyatakan bahawa pertembungan Pas dan UMNO bukan isu akidah tetapi isu pendekatan, maka apakah makna semua ketakutan yang pernah ditanam dalam hati kita selama ini?


"Jika ia bukan isu akidah, maka iman kita tidak terikat pada parti," ujarnya.


Bagi Mahfuz penyokong Pas perlu melihat 'dalil muktamad' dalam perkara berkenaan kerana sejak 1980an Pas telah memfatwakan perjuangan UMNO sebagai sekular dan menentang Islam.


Selain itu, Mahfuz menegaskan Islam tidak pernah mengajar bahawa keahlian dalam mana-mana parti politik menjamin syurga atau meninggalkannya membawa ke neraka, sebagaimana salah tanggap ahli dan penyokong Pas selama ini.


"Tiada satu ayat al-Quran yang meletakkan keselamatan iman di tangan organisasi parti politik. Iman adalah hubungan peribadi antara hamba dan Allah. Ia tidak diwakilkan kepada mana-mana parti, pimpinan atau bendera," jelasnya.


Beliau turut menyentuh kebimbangan segelintir ahli yang takut dilabel munafik atau kafir sekiranya berbeza pendirian politik, sedangkan hal itu dalam Islam hanyalah perkara ijtihad, dan tidak terlalu terikat dengan hukum hakam.


"Munafik dan kafir bukan label politik. Ia istilah akidah yang besar dan tidak boleh digantungkan kepada keputusan memilih atau meninggalkan parti.


"Berbeza pandangan bukan dosa. Berubah pendirian bukan khianat. Mencari jalan yang lebih jujur dengan keikhlasan hati dan keizinan Tuhan bukan kesesatan," katanya.


Menurut Mahfuz, sekiranya seseorang tidak lagi berasa tenang, Islam membenarkan umatnya berhenti seketika untuk berfikir dan menilai semula.


"Keluar parti bukan keluar Islam. Meninggalkan organisasi parti politik bukan meninggalkan iman. Dan menghormati PAS tidak mewajibkan kesetiaan seumur hidup.


"Takutlah kepada Allah dan bukan kepada parti. Peganglah Islam bukan kerana tekanan, tetapi kerana keyakinan. Allah menilai kejujuran, bukan keahlian," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page