top of page

Ubat melalui pos: Kos hantar percuma, manfaat 80 ribu pesakit

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
55 minutes ago
1 min read
DS Fahmi dan DS Dzulkefly meluncurkan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos, pagi tadi
DS Fahmi dan DS Dzulkefly meluncurkan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos, pagi tadi

Seramai 80,000 pesakit setiap bulan dijangka menerima manfaat daripada inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP) apabila kos penghantaran bekalan ubat-ubatan susulan ditanggung sepenuhnya selama setahun bagi pesakit yang layak.


Inisiatif yang berkuat kuasa 1 Oktober 2026 itu merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini melancarkan pembiayaan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan.


Menerusi UMP, anggaran kos penghantaran sebanyak RM5 juta akan ditanggung sepenuhnya, sekali gus membolehkan pesakit yang layak menerima bekalan ubat melalui perkhidmatan penghantaran.


MCMC akan menyelaras pelaksanaan inisiatif selaras dengan peranannya sebagai badan kawal selia sektor pos negara, manakala KKM bertanggungjawab terhadap pengurusan kelayakan pesakit serta penyediaan bekalan ubat-ubatan.


Urusan penghantaran pula akan dilaksanakan oleh Pos Malaysia Berhad.


Inisiatif itu turut diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit memanfaatkan perkhidmatan kesihatan digital, selain memudahkan akses kepada bekalan ubat-ubatan susulan.


Pelaksanaan UMP merupakan susulan pengumuman Menteri Komunikasi ketika pelancaran Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) pada 15 Jun lalu.


Kerjasama antara kementerian dan agensi terbabit mencerminkan usaha memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan serta memanfaatkan ekosistem komunikasi dan pos bagi memudahkan urusan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page