Turunkan harga minyak: Kos subsidi terlalu tinggi, terdedah kepada penyeludupan
- Akmal Manaf

- 3 days ago
- 2 min read

Meskipun formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan ketika ini untuk menentukan harga petrol/diesel tanpa subsidi secara mingguan kekal sama sejak era pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak, cadangan pembangkang untuk mengurangkan harga bahan api atau kembali kepada pendekatan 'subsidi pukal' kini dipersoalkan susulan kebimbangan terhadap kesan fiskal dan risiko penyeludupan.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin berkata, perbezaan sebenar antara era Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan MADANI bukan terletak pada formula, sebaliknya pada kaedah pengagihan subsidi yang telah beralih daripada pukal kepada bersasar.
Sehubungan itu, katanya, tidak mungkin lagi harga petrol RM2.05 seliter atau diesel RM2.15 seliter untuk semua orang boleh dilaksanakan.
"Subsidi pukal bermakna semua orang mendapat manfaat tanpa mengira taraf ekonomi, termasuk orang kaya, syarikat besar malah warga asing yang memandu kenderaan berdaftar Malaysia.
"Ini adalah pembaziran wang awam yang tidak dapat dipertahankan. Tuntutan pembangkang untuk kembali kepada (polisi seumpama) subsidi pukal bukan sahaja tidak logik dari segi fiskal, malah ia secara tidak langsung membela kepentingan golongan yang tidak memerlukan.

"Soal penyeludupan diesel pula adalah bukti kukuh mengapa subsidi pukal tidak boleh dikembalikan. Harga diesel RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan yang dikekalkan atas sebab sosioekonomi dan geografi yang mendesak, sudah pun menimbulkan risiko penyeludupan yang serius sehingga kerajaan terpaksa mengenakan had pembelian bermula April 2026.
"Bayangkan jika seluruh negara dikembalikan kepada subsidi dengan harga sangat rendah, perbezaan harga dengan negara jiran akan menjadi sangat ketara, menjadikan Malaysia sebagai sasaran empuk sindiket penyeludupan bahan api berskala besar," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Mengulas lanjut katanya, beban subsidi ketika ini sahaja dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan dan berpotensi meningkat dengan lebih ketara bergantung kepada pergolakan di Asia Barat, sekali gus menyebabkan negara menanggung kerugian bukan sahaja akibat pembaziran subsidi, malah kehilangan hasil susulan aktiviti penyeludupan.
"Kesimpulannya, pembangkang perlu bersikap jujur kepada rakyat. Tuntutan kembali kepada 'subsidi pukal' (atau polisi memurahkan harga bahan api apungan) adalah populis semata-mata, direka untuk meraih sokongan politik jangka pendek tanpa mengambil kira kesan fiskal jangka panjang kepada negara.
"Pendekatan bersasar melalui BUDI95 adalah lebih adil kerana memastikan manfaat negara sampai kepada yang benar-benar memerlukan iaitu golongan B40 dan M40 bawah, bukannya kepada mereka yang mampu membayar harga pasaran.
"Jika pembangkang benar-benar mahu membela rakyat, mereka sepatutnya mencadangkan cara memperkukuh sistem penyasaran, bukan meruntuhkannya demi kepentingan politik yang sementara," ujarnya lagi.
Untuk rekod, pembangkang Perikatan Nasional mendesak kerajaan memberi subsidi untuk merendahkan harga bahan api berikutan harga petrol/diesel apungan melebihi RM4.00 seliter.
Bagaimanapun, polisi berkenaan tidak mungkin dilakukan kerana negara Arab yang kaya petroleum pun menaikkan harga petrol/diesel domestik berikutan ketidakstabilan bekalan yang menyebabkan harga melambung.
Misalnya, negara pengeluar minyak seperti UAE telah menaikkan harga petrol domestik. Menurut The Times of India, UAE sejak April 2026 menaikkan harga petrol sehingga RM4.80 seliter.
Manakala di Arab Saudi pula harga petrol RM2.50 seliter melebihi harga bersubsidi di Malaysia RM1.99 seliter.




Comments