Sebar berita palsu krisis tenaga global: Lima dikompaun, seorang didakwa - MCMC
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Seorang individu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang manakala lima lagi dikenakan kompaun kerana menyebarkan berita palsu berkaitan kenaikan harga bahan api susulan krisis di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima keputusan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan kes tersebut.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Peguam Negara memutuskan satu kes untuk didakwa di mahkamah, lima kes ditawarkan kompaun dan empat lagi diberikan Surat Amaran.
"Susulan itu, MCMC telah mengeluarkan lima tawaran kompaun kepada individu terlibat dengan nilai sebanyak RM25,000 setiap seorang," kata kenyataan berkenaan.
MCMC menjelaskan, kesemua tindakan diambil hasil siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa menggunakan platform digital secara bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan tidak sahih yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.




Comments