Majlis budaya India-M'sia perkukuh perpaduan, hubungan dua hala
- Helmi Mohd Foad

- 2 days ago
- 1 min read

Malam kebudayaan anjuran Netaji Subhas Chandra Bose Indian Cultural Centre (NSCBICC) menjadi platform memperkukuh hubungan Malaysia-India selain meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi asas perpaduan negara.
Timbalan Menteri Perpaduan, R Yuneswaran berkata, penganjuran program seumpama itu membuktikan hubungan antara kedua-dua negara terus kuat berteraskan rasa hormat, persefahaman dan persahabatan yang sekian lama terjalin.
"Malam ini membuktikan bahawa hubungan antara Malaysia dan India terus utuh, berteraskan rasa hormat, persefahaman dan persahabatan yang sekian lama terjalin," katanya dalam hantaran di Facebook.
Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat turut merakamkan penghargaan kepada NSCBICC sempena ulang tahun ke-15 penubuhannya yang disifatkan memainkan peranan penting dalam mempromosikan warisan budaya India serta mengeratkan hubungan rakyat Malaysia dan India.
Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. N. Reddy atas ucapan pembukaan yang disifatkan penuh makna dan inspirasi.
Menurutnya, persembahan yang dipamerkan termasuk demonstrasi yoga berirama dan tarian klasik Bharatanatyam bukan sahaja memukau malah mencerminkan kekayaan budaya yang menjadi jambatan antara komuniti.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian masyarakat yang bukan sahaja hidup bersama, tetapi turut berkembang secara harmoni.
"Malaysia adalah kekuatan dalam kepelbagaian. Kita bukan sekadar hidup bersama, tetapi kita berkembang bersama," ujarnya.
Tambah beliau, semangat perpaduan perlu terus dipupuk demi memastikan masa depan negara yang lebih harmoni dan bersatu.
"Semoga semangat perpaduan ini terus dipupuk demi masa depan negara yang lebih harmoni dan bersatu," katanya lagi.




Comments