top of page

Tuntutan Sarawak: PM bakal umum langkah interim pada Hari Malaysia

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
30 minutes ago
2 min read
DS Anwar bersama DS Hajiji, TS Abang Johari dan datuk Mustapha pada sidang media. Foto:PMO
DS Anwar bersama DS Hajiji, TS Abang Johari dan datuk Mustapha pada sidang media. Foto:PMO

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan satu langkah interim bagi menyelesaikan tuntutan lama Sarawak pada sambutan Hari Malaysia di Kuching, 16 September ini.


Perdana Menteri berkata perkara itu masih dalam rundingan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg termasuk bagi memuktamadkan butiran berhubung tuntutan berkenaan.


"Mengenai Sarawak, saya berpandangan walaupun ia tidak termasuk di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, semangat yang sama perlu diambil kira.


"Justeru itu, saya akan terus mengadakan perbincangan dengan Premier dalam beberapa hari akan datang.


"Mudah-mudahan pada 16 September nanti, Hari Malaysia di Kuching, saya dapat mengumumkan satu langkah interim untuk Sarawak," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Sarawak sebelum ini mengemukakan pandangan supaya satu formula lebih jelas diperkenalkan bagi menentukan pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D.


Kata beliau, formula itu perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara, kemampuan kerajaan serta menetapkan jumlah minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.


"Sarawak juga telah berkongsi pandangan mengenai formula yang perlu diperkenal bagi memastikan terdapat kejelasan.


"Formula itu mengambil kira kedudukan kewangan negara, kemampuan serta jumlah minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.


"Saya bersetuju dengan perkara ini dan telah meminta Kementerian Kewangan bersama Sarawak membincangkan pengenalan formula berkenaan," ujarnya.


Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini sementara rundingan berhubung tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu diteruskan.


Beliau berkata bayaran tersebut merupakan langkah sementara sebelum kaedah dan jumlah sebenar tuntutan berkenaan dimuktamadkan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara serta perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.


Sementara itu, Abang Johari yang turut hadir pada sidang media tersebut menyambut baik hasil perbincangan MTPMA63 khususnya persetujuan untuk mencari formula menang-menang antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.


"Saya mengucapkan terima kasih atas perbincangan terdahulu dan keputusan yang telah dicapai.


"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas persetujuan untuk mewujudkan formula menang-menang antara Sarawak dan Persekutuan," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page