Tumbangkan PH Selangor: Pas perlu buktikan tawar dasar lebih baik – Shahrul
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Pas dan Perikatan Nasional (PN) perlu mengemukakan dasar serta pelan pentadbiran yang jelas bukan hanya beretorik mahu alih Selangor dari Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Mohamad Shahrul Adnan (gambar).
Katanya, retorik Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dari Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu menjadikan Selangor sebagai “titik mula” untuk menumbangkan PH perlu disambut dengan cabaran agar Pas membuktikan kemampuan pentadbiran.
"Sanusi mahu tumbangkan PH di Selangor? Silakan. Itu hak Pas dan Perikatan Nasional dalam sebuah negara demokrasi.
"Malah apabila Sanusi mencabar supaya prestasi pentadbiran dibandingkan, kami sambut cabaran tersebut. Tetapi sebelum bercakap besar mahu mengambil alih Selangor, Pas perlu menjawab satu persoalan mudah kepada rakyat negeri ini iaitu apa sebenarnya yang Pas mahu tawarkan kepada rakyat Selangor?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shahrul, Pas sudah mempunyai ramai wakil dalam Dewan Negeri Selangor sebagai pembangkang dan sepatutnya menggunakan kedudukan itu untuk menunjukkan kesediaan menjadi kerajaan alternatif.
"Menjadi kerajaan bukan sekadar mempunyai jentera pilihanraya yang ramai atau memenuhi pentas ceramah. Menjadi kerajaan memerlukan kemampuan mengurus hasil negeri, pembangunan, pelaburan, perumahan, pengangkutan, infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat.
"Kalau Belanjawan Alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor," katanya.
Shahrul berkata, sekiranya Sanusi mahu membandingkan prestasi pentadbiran, Pas juga perlu bersedia membandingkan rekod negeri-negeri ditadbir parti itu dengan Selangor.
"Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan menjadi antara pusat utama pelaburan, perindustrian, perdagangan serta peluang pekerjaan negara.
"Kedudukan ini bukan terhasil daripada slogan politik, tetapi daripada kesinambungan dasar, pembangunan infrastruktur, keyakinan pelabur dan kestabilan pentadbiran," katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor turut membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030 sebagai hala tuju pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Itulah bezanya antara sibuk merancang bagaimana mahu membangunkan negeri dengan sibuk merancang bagaimana mahu mendapatkan kuasa," katanya.
Shahrul berkata Pas perlu membawa angka, dasar dan pelan yang boleh dinilai rakyat sekiranya mahu menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif.
"Rakyat Selangor mahu tahu apa yang Pas mampu lakukan lebih baik, bukan sekadar mendengar siapa yang Pas mahu tumbangkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan AMK Selangor tidak gentar dengan cabaran politik Pas dan PN, malah mengalu-alukan mereka berkempen secara demokratik di seluruh negeri.
"Pas dan PN dipersilakan turun ke seluruh Selangor dan berkempen secara demokratik. Bentangkan rekod pentadbiran Pas dan negeri-negeri yang mereka tadbir, kemudian bandingkan dengan Selangor. Biar rakyat menjadi hakim," katanya.
Bagaimanapun, Shahrul mengingatkan Pas supaya tidak menggunakan politik perkauman sebagai pendekatan untuk mendapatkan sokongan rakyat Selangor.
"Tidak ada tempat untuk politik perkauman di Negeri Selangor. Selangor dibangunkan bersama oleh rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
"Melayu, Cina, India dan seluruh masyarakat Selangor mempunyai peranan dalam membina kekuatan ekonomi dan sosial negeri ini. Kepelbagaian tersebut bukan kelemahan Selangor, sebaliknya merupakan antara kekuatan terbesar negeri ini," katanya.
Menurut beliau, persaingan politik sepatutnya tertumpu kepada dasar, ekonomi dan rekod pentadbiran, bukannya sentimen yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Shahrul turut menegaskan Selangor tidak seharusnya dilihat sebagai “titik mula” untuk memenuhi cita-cita politik mana-mana parti atau individu di peringkat Persekutuan.
"Selangor bukan batu loncatan kepada cita-cita politik mana-mana individu atau parti. Selangor adalah negeri kepada jutaan rakyat yang mahukan kestabilan, peluang ekonomi, pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik," katanya.




Comments