Tubuh baharu: RCI bukan peperiksaan, boleh ulang sampai dapat markah 'A'
- Suara Keadilan

- 35 minutes ago
- 2 min read

Cadangan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu diwujudkan bagi menyiasat Tabung Haji dipersoalkan banyak pihak.
Bagi Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar), bukan sahaja RCI sedia ada dibentuk oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi Umno dan Pas pada 2021 lalu, tetapi juga timbul persoalan akan keperluan RCI baharu yang mungkin hanya mahu dilihat hasilnya selari dengan naratif politik pihak tertentu.
"Kenapa bila dapatan RCI tidak sesuai dengan naratif politik, penyelesaiannya ialah minta RCI baharu?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, sekiranya terdapat kesalahan fakta dalam laporan RCI, pihak yang mempertikaikannya perlu mengemukakan bukti dan menjelaskan secara terperinci perkara yang didakwa.
"Kalau benar terdapat kesalahan fakta dalam RCI, tunjukkan fakta yang salah. Kalau ada kesimpulan RCI yang tidak tepat, buktikan di Parlimen. Kalau ada pihak yang difitnah, kemukakan dokumen dan bukti.
"Jangan sekadar menggunakan perkataan ‘manipulasi’ tanpa menunjukkan dengan tepat apa yang dimanipulasi," katanya.
Selain itu, Mahfuz juga mempersoalkan mengapa Takiyuddin tidak menggunakan ruang sidang khas Parlimen sebelum ini untuk menjawab dan membahaskan dapatan RCI secara terbuka, sebaliknya meninggalkan dewan apabila Menteri Agama mula membentangkan laporan RCI.
Tegas Mahfuz, RCI bukanlah mekanisme yang boleh diulang semata-mata kerana keputusan yang diperoleh tidak memenuhi kehendak pihak tertentu.
"RCI bukan (kertas) peperiksaan yang boleh diulang sampai dapat markah yang disukai. Kalau ada kesilapan, betulkan. Kalau ada fakta baharu, kemukakan.
"Tetapi jangan jadikan RCI seperti peperiksaan SPM, bila keputusan tidak memuaskan, minta ulang (ambil kertas baharu) sampai dapat A," katanya.
Beliau menegaskan RCI sepatutnya menjadi mekanisme untuk mencari kebenaran dan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk memenangkan mana-mana parti politik.
"RCI bukan alat untuk memenangkan Umno. Bukan alat untuk memenangkan Pas atau PH. RCI ialah mekanisme mencari kebenaran. Dan Tabung Haji pula bukan milik mana-mana parti. Ia amanah jutaan pendeposit," katanya.
Mahfuz berkata proses RCI Tabung Haji juga tidak bermula di bawah Kerajaan MADANI, sebaliknya telah dimulakan ketika kerajaan terdahulu berkuasa. Jadi, kata beliau jangan bercakap seolah-olah RCI itu satu projek politik Pakatan Harapan untuk membungkam lawan.
Beliau berkata pihak yang mempertikaikan laporan RCI perlu membuktikan kesilapannya berdasarkan fakta, manakala dapatan yang benar pula perlu dilaksanakan.
"Kalau RCI itu salah, buktikan salahnya. Kalau RCI itu betul, laksanakan syornya. Jangan minta RCI baharu hanya kerana tidak suka keputusan RCI lama," katanya.
Mahfuz berkata persoalan berkaitan RCI perlu dijawab secara terbuka dan tidak dielakkan dengan mencadangkan supaya proses siasatan dimulakan semula.
"Masa RCI perlu dijawab, jawab RCI. Jangan lari (keluar Dewan Rakyat) daripada persoalan, kemudian minta tukar soalan.
"Pendeposit Tabung Haji tidak memerlukan RCI yang mengikut selera politik. Kami memerlukan kebenaran yang tidak takut kepada mana-mana parti," katanya lagi.
Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mahu kerajaan menubuhkan RCI baharu bagi menyiasat pentadbiran dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bermula dari 2018 hingga kini.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kedudukan dan integriti institusi kebanggaan umat Islam itu terus dipertahankan secara telus dan adil.
Beliau juga mendakwa telah berlaku 'manipulasi' untuk menunjukkan kononnya berlaku kebobrokan dalam institusi yang berkaitan umat Islam dan orang Melayu secara berlebih-lebihan.




Comments