top of page

Tsunami politik 2008: Malaysia lebih demokratik sedekad selepasnya - Sim

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 days ago
  • 2 min read
Tze Tzin pada hari pencalonan era 2008 sehingga tertubuhnya Pakatan Harapan dan PRU 2018
Tze Tzin pada hari pencalonan era 2008 sehingga tertubuhnya Pakatan Harapan dan PRU 2018

Detik bersejarah 18 tahun lalu, 8 Mac 2008 merupakan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 yang menyaksikan istilah tsunami politik mula digunakan di negara ini apabila pembangkang - KEADILAN, Pas dan DAP - pada waktu itu menumbangkan Barisan Nasional di lima negeri; Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan.


Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin detik bersejarah 18 tahun lalu itu merupakan kali pertama beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Pulau Pinang.


Menurutnya, PRU tersebut bukan sahaja mengubah landskap politik negara malah melahirkan generasi pengundi baharu yang dikenali sebagai Generasi 308 yang pro pembaharuan, dan kemudian berjaya menobatkan Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Persekutuan pada PRU 2018.


"18 tahun yang lalu pada hari ini, saya dipilih buat pertama kali sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak. Ia merupakan satu pilihanraya bersejarah yang digelar sebagai ‘Tsunami Politik’ Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Poster legendaris Tze Tzin di DUN Pantai Jerejak yang menjadikannya antara tokoh politik P Pinang
Poster legendaris Tze Tzin di DUN Pantai Jerejak yang menjadikannya antara tokoh politik P Pinang

Tze Tzin berkata, pada ketika itu beliau tidak menyangka bahawa kemenangan tersebut akan membawa kepada satu perjalanan politik yang panjang dan penuh cabaran bersama generasi pemimpin muda lain.


Beliau berkata perjalanan tersebut turut dilalui bersama tokoh politik muda lain seperti Nurul Izzah Anwar, Datuk Chang Lih Kang, Datuk Seri Amiruddin Shari, Hannah Yeoh dan Liew Chin Tong yang sama-sama menyertai arus perubahan politik negara.


Sepanjang tempoh hampir dua dekad itu, beliau menyifatkan perubahan politik Malaysia sebagai sesuatu yang luar biasa, apabila negara beralih daripada pemerintahan hampir 60 tahun oleh satu parti kepada sistem yang lebih terbuka dan demokratik.


"Sepanjang 18 tahun yang lalu, peralihan politik negara amat luar biasa. Malaysia telah bergerak daripada sebuah negara yang diperintah hampir 60 tahun oleh satu parti dalam sistem separa autoritarian kepada sebuah negara yang sedang menuju ke arah kebebasan dan demokrasi," katanya.


Tambah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu, Malaysia juga telah melalui perubahan besar daripada kebimbangan berulangnya tragedi Peristiwa 13 Mei 1969 kepada pemindahan kuasa secara aman dalam beberapa kali pertukaran kerajaan pada 2018 dan 2022.


Bagaimanapun, Tze Tzin mengakui negara masih berdepan cabaran termasuk politik berterusan serta provokasi perkauman yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.


"Politik yang tidak berkesudahan serta provokasi perkauman yang berterusan telah menghakis keyakinan rakyat terhadap demokrasi," katanya.


Walaupun berdepan cabaran tersebut, beliau menegaskan keyakinannya terhadap masa depan negara dan komitmennya untuk terus menyumbang kepada pembangunan Malaysia.


"Saya percaya kepada Malaysia dan kepada kebaikan rakyat negara ini. Saya telah menumpukan lebih daripada 18 tahun hidup saya untuk membina sebuah Malaysia yang baharu," katanya.


Justeru, Tze Tzin menyeru rakyat untuk terus bersama-sama membina negara danm mengecap kejayaannya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page