Transformasi Bazaria Wangsa Maju Martabatkan Ekonomi Rakyat
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Kunjungan saya ke Bazaria Wangsa Maju pada malam-malam terakhir Ramadan baru-baru ini bukan sekadar satu lawatan bermusim. Di sebalik keriuhan warga kota yang membuat persiapan saat akhir Aidilfitri, saya melihat satu perjuangan tujuh tahun yang akhirnya membuahkan hasil yang indah.
Satu ketika dahulu, kita sedia maklum bahawa Uptown Danau Kota merupakan tarikan pelancongan ikonik. Namun, jumlah gerai yang tidak terkawal ketika itu menyebabkan lalu lintas lumpuh, mencetuskan dilema antara kelangsungan ekonomi dan keselesaan penduduk.
Bagi saya, tahun 2025 adalah tahun "Misi Sempurna". Perjalanan bermula pada 2018, di mana saya menyaksikan sendiri jerit perih peniaga di pinggiran jalan yang serba kekurangan. Selepas melalui fasa transisi pada 2019, kejayaan mereka menetap di bangunan baharu yang moden dan berbumbung pada tahun ini adalah satu kemenangan besar buat ekosistem penjaja kecil kita.
Ekonomi malam enjin pertumbuhan bandar
Ekonomi malam (night economy) bukan sekadar aktiviti jualan lelong ia adalah pemacu pertumbuhan yang signifikan. Secara global, sektor ini menyumbang sekitar 3% hingga 4% daripada KDNK dunia. Malah di kota metropolitan, 1 daripada 10 pekerja bergantung kepada ekosistem ini.

Model seperti Night Mayor di Amsterdam atau kejayaan Pasar Malam Shilin di Taiwan dan Dongdaemun di Seoul membuktikan bahawa pengurusan ekonomi malam yang tersusun mampu menjadi penyumbang utama sektor pelancongan. Di Malaysia, dengan beralih daripada model "tapak terbuka" kepada "hab berpusat" seperti Bazaria, kita sebenarnya sedang meletakkan penjaja Kuala Lumpur setaraf dengan standard antarabangsa. Sepertimana Pasar Karat yang menjadi syurga barangan vintaj, Bazaria kini adalah identiti kuat Wangsa Maju.
Sinergi kepimpinan visi Madani
Kejayaan ini adalah hasil kesinambungan kepimpinan utuh Persatuan Penjaja Bazaria. Penghargaan khusus buat mantan pengerusi, Ibrahim Merican, yang meletakkan asas perjuangan ini, dan kini diteruskan dengan cemerlang oleh pengerusi semasa, Mohd Ramzan.

Kerjasama erat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyempurnakan misi lestari I-Niaga juga selaras dengan visi YAB Perdana Menteri (PMX) untuk memartabatkan ekonomi rakyat melalui kerangka Ekonomi Madani. Peniaga kini mempunyai "rumah" yang selamat tanpa perlu bimbang akan faktor cuaca atau gangguan bekalan elektrik.
Kesesakan simbol kemakmuran
Saya maklum akan rintihan mengenai kesesakan trafik. Namun, dalam analisis perancangan bandar, peningkatan trafik di kawasan komersial adalah petanda ekonomi sedang bernafas. Kesesakan adalah simbol prosperity atau kemakmuran. Sepertimana sesaknya Bukit Bintang, kemeriahan di Bazaria membuktikan kuasa beli rakyat di Wangsa Maju kekal rancak.
Di ambang Aidilfitri yang mulia, marilah kita bertolak ansur demi menyokong peniaga tempatan. Perjalanan yang saya dampingi sejak 2018 kini telah lengkap. Melihat mereka berjaya adalah satu kepuasan peribadi yang sukar digambarkan.
Semoga Bazaria Wangsa Maju terus maju sebagai mercu tanda kebanggaan kita semua.
Penulis merupakan penaung Persatuan Penjaja Bazaria Maju dan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur.




Comments