top of page

Tragedi RX-Z bukti pindaan Akta 42A wajar diperketat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 20 minutes ago
  • 2 min read
Ngeri... tragedi melibatkan penunggang motosikal RX-Z di Lebuhraya Pantai Timur. Foto kredit: Sinar Harian
Ngeri... tragedi melibatkan penunggang motosikal RX-Z di Lebuhraya Pantai Timur. Foto kredit: Sinar Harian

Tragedi yang mengorbankan empat penunggang motosikal RX-Z di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kelmarin sebagai peringatan bahawa undang-undang terhadap perlumbaan haram dan perbuatan menduga kelajuan di jalan raya perlu diperketat.


Bekas Penyelidik Kajian Pengangkutan Awam Negeri Terengganu 2006, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar menyifatkan tragedi berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya dijadikan iktibar mengenai risiko apabila jalan raya tidak digunakan secara betul.


"Tragedi ini bukan bahan untuk dipersendakan atau dipolitikkan. Namun, ia wajib dijadikan ibrah tentang betapa besarnya risiko apabila jalan raya dijadikan tempat berlumba, menduga kelajuan atau menunggang secara berbahaya," katanya dalam muat naik di Facebook.


Menurut beliau, pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang memperkenalkan peruntukan Akta 42A bagi memperketat tindakan terhadap perlumbaan haram adalah langkah pencegahan yang wajar, meskipun pernah dipersoalkan oleh wakil Perikatan Nasional (PN) dan Pas pada peringkat awal.


"Ketika Kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan terutama memperkenalkan Akta 42A bagi memperketat tindakan terhadap perlumbaan haram, ada wakil PN/Pas yang mempertikaikannya sebagai 'terlalu menghukum'. Kini kita dapat melihat mengapa Kerajaan perlu bertindak tegas," katanya.


Beliau berkata kerajaan tidak boleh hanya bertindak selepas sesuatu kemalangan berlaku, sebaliknya penguatkuasaan perlu dilakukan lebih awal bagi mengelakkan kehilangan nyawa.


Mohd Ikhmal mengakui pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya perlu terus diperkasakan, namun berpendapat ia sahaja tidak mencukupi bagi menangani golongan yang sengaja menjadikan jalan awam sebagai litar perlumbaan.


Beliau turut menjelaskan bahawa pindaan undang-undang itu tidak menyasarkan pemilik motosikal RX-Z atau komuniti permotoran secara keseluruhan, sebaliknya hanya individu yang melakukan perlumbaan haram dan membahayakan pengguna jalan raya.


"Peminat motosikal yang berdisiplin tidak perlu bimbang. Pindaan ini bukan memusuhi pemilik RX-Z, anak muda atau komuniti permotoran. Ia menyasarkan mereka yang berlumba, menguji kelajuan dan membahayakan keselamatan awam," katanya.


Dalam pada itu, beliau berpandangan kos sebenar akibat perlumbaan haram bukan sekadar jumlah kompaun atau hukuman yang dikenakan, tetapi kehilangan nyawa.


Beliau turut memuji langkah kerajaan memperketat undang-undang berkaitan kesalahan perlumbaan haram, sambil menegaskan tindakan itu bertujuan melindungi orang ramai dan bukannya menghukum secara melampau.


"Undang-undang yang tegas bukan bertujuan menzalimi rakyat tetapi melindungi rakyat daripada mereka yang memperjudikan nyawa di jalan raya," katanya.


Dalam kemalangan kelmarin, lebih 30 motosikal dipercayai berkonvoi terlibat dalam nahas yang mengorbankan empat penunggang motosikal Yamaha RXZ dan mencederakan 20 yang lain di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kemaman pada awal pagi Sabtu.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, nahas tersebut turut melibatkan sebuah kereta.


Ashari dalam dipetik Sinar Harian berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dengan kereta dipandu Muhammad Irfan dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke arah Kemaman.


Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, semasa bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba motosikal ditunggang salah seorang mangsa dipercayai terlanggar bahagian belakang kereta berkenaan sehingga menyebabkan penunggang motorsikal lain gagal mengelak lalu terlanggar sesama sendiri.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page