Tony Pua digesa tarik kenyataan, mohon maaf kepada Sultan Selangor
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Mantan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua digesa menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan hantaran dimuat naik di Facebook yang menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Ketua Penerangan KEADILAN Kuala Langat, Mohd Khairool Ngadon (gambar) menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak beradab dan melampaui batas politik matang.
"Institusi Diraja wajib dihormati sebagai payung negeri dan simbol kestabilan negara. Perbezaan pandangan boleh disuarakan, namun mesti disampaikan dengan tertib serta berlandaskan adab dan Perlembagaan.
"Kebebasan bersuara bukan alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung institusi Raja-Raja Melayu serta mengundang keresahan rakyat.
"Saya menggesa Tony Pua menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada DYMM Sultan Selangor serta rakyat Selangor," katanya dalam satu kenyataan.
Khairool menegaskan bahawa politik matang bukan sekadar berani mengkritik, tetapi tahu menjaga batas hormat terhadap institusi negara.
Pada 19 Mei lalu, Sultan Sharafuddin menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan mantan Exco Selangor, Ronnie Liu hadir sekurang kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi membaca Rukun Negara yang ditulis di plak di situ selain menghormati institusi raja.
Susulan itu, Tony Pua yang juga veteran DAP dalam hantaran di Facebook didakwa berkata bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hantaran itu telah mengundang kemarahan masyarakat dan beberapa pemimpin politik, manakala pihak polis memaklumkan sebanyak 28 laporan telah diterima di seluruh negara berkaitan hantaran berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.




Comments