Jasa pelopor Rukun Tetangga terus dikenang — Yuneswaran
- Redzuan Shamsudin

- May 21
- 2 min read

Jasa tokoh awal yang terlibat dalam penubuhan Rukun Tetangga pertama di Malaysia terus dikenang sebagai asas penting pembinaan perpaduan dan keharmonian masyarakat negara ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, penghargaan perlu diberikan kepada individu dan keluarga mendiang yang banyak menyumbang kepada pembangunan semangat kejiranan sejak awal penubuhan Rukun Tetangga.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi waris mendiang Karthi Palanisamy, Setiausaha Rukun Tetangga Kampung Kasipillay, Kuala Lumpur yang meninggal dunia baru-baru ini.
Dalam kunjungan tersebut, Yuneswaran turut bertemu kakak sulung mendiang, Meenambikai.
Menurut beliau, mendiang Karthi merupakan anak kepada mendiang En. Palanisamy yang menjadi antara Setiausaha Rukun Tetangga pertama di Malaysia ketika penubuhan Kawasan Rukun Tetangga pertama diwujudkan di Kampung Kasipillay pada tahun 1975 selepas era MAGERAN (Majlis Gerakan Negara - badan pentadbir selepas rusuhan 13 Mei 1969).
"Mendiang En. Palanisamy dan En. Karthi merupakan antara individu yang banyak menyumbang tenaga dan khidmat dalam menghidupkan semangat kejiranan, kebersamaan serta perpaduan masyarakat sejak awal penubuhan Rukun Tetangga di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sehingga ke akhir hayatnya, Karthi masih memegang amanah sebagai Setiausaha Rukun Tetangga Kampung Kasipillay dengan meneruskan legasi serta tanggungjawab yang dimulakan oleh bapanya.
Katanya, Kampung Kasipillay akan terus dikenang sebagai lokasi bermulanya sejarah penting Rukun Tetangga di Malaysia yang kemudiannya berkembang di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Kementerian Perpaduan Negara.
"Kunjungan ini mencerminkan penghargaan dan ingatan berterusan terhadap jasa tokoh-tokoh awal serta keluarga yang telah banyak berbakti dalam membina semangat perpaduan di peringkat akar umbi," katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar keluarga mendiang terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan insan tersayang selain mendoakan jasa serta bakti mendiang terus dikenang masyarakat setempat.




Comments