top of page

KEADILAN Kemaman kekal utuh meski timbalan ketua keluar parti

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 5 hours ago
  • 1 min read

KEADILAN Cabang Kemaman menegaskan kedudukan cabang itu kekal utuh, stabil dan terus setia bersama kepimpinan parti walaupun Timbalan Ketua Cabangnya, Affandi Mohammad, mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta-merta dalam satu sidang media.


Ketua Cabang KEADILAN Kemaman, Ahmad Nazri Yusof (gambar) berkata, seluruh kepimpinan cabang termasuk sayap Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kekal komited meneruskan perjuangan parti di bawah pimpinan Presiden KEADILAN yang juga Perdana Menteri Malaysia.


"KEADILAN Cabang Kemaman kekal utuh, stabil dan terus kukuh bersama kepimpinan parti di bawah Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seluruh kepimpinan cabang termasuk sayap Wanita dan AMK terus komited meneruskan perjuangan parti serta gerak kerja organisasi seperti biasa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, tindakan keluar parti bukanlah perkara baharu dalam sejarah politik cabang berkenaan dan sebelum ini terdapat individu yang meninggalkan parti, namun selepas beberapa tahun kembali memohon menjadi anggota parti secara senyap-senyap.


"Hakikat ini membuktikan bahawa perjuangan KEADILAN bukan bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya didukung oleh kekuatan akar umbi, semangat reformasi serta keyakinan ahli terhadap hala tuju parti," katanya.


Beliau berkata, KEADILAN Cabang Kemaman tidak akan terjejas dengan “gimik politik bersifat sementara” dan akan terus memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan organisasi serta mendekati rakyat.


"Fokus kami kekal kepada memperkukuhkan organisasi, mendekati rakyat dan memastikan agenda perjuangan parti terus diperkasa demi kepentingan masyarakat," katanya.


Pada masa sama, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada mana-mana pihak yang memilih haluan politik berbeza sambil menegaskan parti menghormati pendirian setiap individu.


"Namun begitu KEADILAN Cabang Kemaman akan terus mara ke hadapan dengan semangat solidariti, kesetiaan dan iltizam untuk memperkukuhkan parti demi masa depan perjuangan reformasi," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page