Ketua AMK Tuaran kekal di medan perjuangan, meskipun KC berundur
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 1 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Tuaran, Arief Hambali J Indan (gambar) menegaskan beliau kekal bersama KEADILAN dan akan meneruskan perjuangan seperti biasa demi prinsip, amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan.
Beliau berkata, perjuangan yang sedang dilalui masih belum selesai dan amanah yang dipikul akan terus dilaksanakan dengan penuh komitmen.
"Dengan ini saya ingin menegaskan bahawa saya kekal bersama Parti Keadilan Rakyat dan akan terus meneruskan perjuangan ini seperti biasa demi prinsip, amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan," katanya dalam satu kenyataan.
Hal itu ditegaskan beliau di sebalik pengunduran bekas pimpinan KEADILAN dan Ketua Cabang (KC) Tuaran, Razeef Rakimin semalam.
"Saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh saudara Razeef dan merakamkan penghargaan atas segala tunjuk ajar, pengalaman serta kebersamaan sepanjang perjuangan bersama sejak Pemilihan Parti 2022.
"Banyak kenangan, pengorbanan dan pengalaman yang akan terus terpahat dalam perjalanan politik saya.
"Walaupun berasa sedih dengan perpisahan haluan perjuangan ini, saya percaya setiap individu mempunyai pertimbangan dan keputusan tersendiri yang wajar dihormati," katanya lagi.
Arief yang juga Pengarah Komunikasi AMK Sabah berharap hubungan baik, ukhuwah serta semangat persaudaraan yang telah terjalin selama ini akan terus berkekalan walaupun berada di landasan perjuangan yang berbeza.




Comments