top of page

Belanjawan T'ganu 2027 harus manfaatkan kemurahan Kerajaan Persekutuan – KEADILAN

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
42 minutes ago
2 min read

KEADILAN Terengganu berharap Belanjawan Negeri Terengganu 2027 di bawah pemerintahan kerajaan Pas memberi tumpuan kepada kepelbagaian ekonomi, menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk anak muda tempatan.


Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, pembentangan Belanjawan MADANI 2027 Kerajaan Persekutuan yang memberi perhatian kepada pembangunan negeri Pantai Timur wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat.


Menurutnya, beberapa inisiatif Kerajaan MADANI, termasuk menaik taraf destinasi ekopelancongan, projek tebatan banjir dan penambahbaikan infrastruktur pembetungan, berpotensi merancakkan ekonomi setempat.

Aiman Wan Alias
Aiman Wan Alias

"Inisiatif menaik taraf destinasi ekopelancongan seperti Setiu Wetlands, Tasik Kenyir, Pulau Tenggol dan Pulau Bidong, pelaksanaan projek tebatan banjir Sungai Kemaman serta penambahbaikan infrastruktur pembetungan di Kuala Terengganu merupakan antara usaha yang berpotensi memperkukuh kesejahteraan rakyat dan merancakkan ekonomi setempat.


"KEADILAN Terengganu berharap agar inisiatif Kerajaan Persekutuan ini dapat disambut dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu, supaya setiap usaha pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas kepada rakyat dan ekonomi negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Aiman berkata, pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu 2027 juga perlu dijadikan peluang untuk merangka agenda pembangunan lebih menyeluruh dan berpandangan jauh.


Katanya, pembangunan infrastruktur serta pengembangan sektor pelancongan perlu diselaraskan dengan usaha membina ekosistem ekonomi yang mampu meningkatkan produktiviti, melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan menyediakan laluan kerjaya lebih luas.


"Usaha ini penting agar potensi dan bakat anak muda Terengganu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, tanpa mereka perlu meninggalkan negeri semata-mata untuk mendapatkan peluang kerjaya yang sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka," ujarnya.


Beliau berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, disokong hala tuju ekonomi yang jelas, mampu meningkatkan daya saing Terengganu serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.


Justeru, menurut beliau, matlamat pembangunan negeri tidak seharusnya terhad kepada penyediaan infrastruktur dan pertumbuhan sektor tertentu, sebaliknya perlu turut merangkumi usaha membina ekonomi yang lebih pelbagai serta menarik pelaburan berkualiti.


"Matlamat kita bukan sekadar membangunkan Terengganu, tetapi memastikan pembangunan itu turut membina ekonomi yang lebih pelbagai, menarik pelaburan berkualiti dan menyediakan masa depan yang lebih cerah untuk anak muda negeri ini," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page