Tolak fahaman asabiyah anti kebenaran - Mohamad Sabu


Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat khususnya masyarakat Melayu menolak fahaman asabiyah yang meletakkan kesetiaan kepada kelompok mengatasi kebenaran.
Menurutnya, fahaman yang ditegah Islam itu boleh merosakkan pertimbangan orang Melayu sehingga sanggup mempertahankan penyelewengan demi menjaga kepentingan kumpulan tertentu.
"Terdapat pihak menggunakan seruan penyatuan bangsa dan agama serta sentimen kononnya Melayu dan Islam terancam untuk meraih sokongan politik.
"Bangsa dijadikan perisai, agama dijadikan tunggangan, sedangkan rakyat terus menanggung kerugian.
"Di sinilah bahayanya asabiyah, apabila kesetiaan kepada kelompok mengatasi kesetiaan kepada kebenaran," katanya menerusi Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional AMANAH 2026 di Shah Alam pada Sabtu.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, ancaman sebenar kepada orang Melayu dan Islam datang dari pemikiran ekstremisme agama, mentaliti terkepung serta kempen kebencian yang menghalang kematangan masyarakat.
"Ancaman sebenar kepada orang Melayu dan Islam adalah pemikiran yang salah dalam memahami Islam.
"Pemikiran ekstremisme agama, pemikiran terkepung (siege mentality) dan kempen emosi dan kebencian yang menghalang kematangan dan kebijaksanaan orang Melayu," katanya.
Menerusi pidato tersebut beliau menyeru usaha membenteras fahaman asabiyah bermula dengan keberanian mengenakan ukuran sama terhadap semua pihak, termasuk diri sendiri dan kepemimpinan masing-masing.
"Jangan terpengaruh dengan slogan penyatuan palsu, sebaliknya nilailah perjuangan berdasarkan kejujuran dan akhlak pemimpin," tambahnya.




Comments