Tolak dakyah pihak cuba gugat keharmonian negara - Ramanan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri R Ramanan menyeru orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pihak yang cuba menghasut dan mencetuskan masalah yang boleh menggugat keharmonian serta kestabilan negara.
Beliau berkata, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum yang terkenal dengan semangat perpaduan antara kaum yang tinggi.
Namun jelasnya, sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang cuba menyebar kebenci melalui media sosial kebelakangan ini berpotensi menyebabkan berlaku perpecahan sekaligus mengugat keharmonian rakyat.
"Hari ini kita berkumpul di sini terdiri pelbagai kaum, bangsa dan agama dan kita tahu ia tidak menjadi masalah.
"Kadang-kadang jiran sebelah kanan terdiri orang India, manakala jiran sebelah kiri orang Cina dan selama ini tiada masalah berlaku. Tapi disebabkan tindakan pihak tertentu,ia boleh memecahbelahkan masyarakat.
"Yang penting, kita tidak mengutamakan kepentingan tertentu yang boleh memecahbelahkan masyarakat," katanya dipetik ketika berucap di Majlis Ziarah MADANI Ihya Ramadan 2026, di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara pada Sabtu.
Acara tersebut, yang dihadiri kira-kira 2,000 orang, juga menyaksikan sumbangan berjumlah RM20,000 diserahkan kepada tiga rumah anak yatim dan sebuah pusat tahfiz, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong program komuniti sempena Ramadan.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia mengumumkan 16,500 bakul makanan akan diagihkan ke seluruh negara sebagai langkah intervensi awal bagi membantu golongan terkesan dengan 'badai' ekonomi semasa susulan perang di Asia Barat.
Program berkenaan jelasnya merupakan antara inisiatif berskala besar terbesar pernah dilaksanakan kementerian itu setakat ini.




Comments