Tolak ADUN lantikan, PH tarik diri dari Kerajaan Negeri Melaka
- Suara Keadilan

- 30 minutes ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan gabungan itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Negeri selepas memutuskan untuk menarik sokongan susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu dibuat kerana PH tidak boleh terus berada dalam kerajaan selepas secara terbuka menolak rang undang-undang yang disifatkan bercanggah dengan prinsip pilihanraya yang bertujuan memberi peluang rakyat memilih ADUN.
"Kita telah mengambil pendirian yang jelas menolak RUU ini kerana ia bercanggah dengan prinsip demokrasi pilihanraya. Oleh itu, kita perlu keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka.
"Kita tidak boleh pada masa menolak usul kerajaan, dalam masa yang sama terus berada dalam kerajaan dan menggunakan segala kemudahan kerajaan. Itu tidak adil," katanya dipetik Astro Awani dalam sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, hari ini.
Susulan keputusan itu, lima wakil PH yang terdiri daripada empat ADUN DAP dan seorang ADUN AMANAH melepaskan semua jawatan dalam pentadbiran negeri, termasuk sebagai Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta jawatan lain yang berkaitan dengan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Poay Tiong menjelaskan kesemua wakil rakyat berkenaan akan kekal sebagai ADUN dan memainkan peranan sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Beliau turut menegaskan keputusan itu bukan didorong oleh perkembangan politik semasa atau persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya dibuat atas dasar mempertahankan prinsip parti terhadap pelantikan ADUN.
Menurutnya, DAP dan PH berpendirian bahawa wakil rakyat seharusnya dipilih secara langsung oleh rakyat melalui pilihanraya, bukannya dilantik.
"Sekiranya Kerajaan Negeri memerlukan kepakaran daripada golongan profesional atau pakar dalam sesuatu bidang, mereka boleh dilantik sebagai penasihat tanpa perlu diberikan kedudukan sebagai ADUN.
"Apabila seseorang dilantik sebagai ADUN, mereka mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengundi di Dewan Undangan Negeri. Itu yang bercanggah dengan prinsip demokrasi pilihanraya yang kita pegang," katanya lagi.




Comments