top of page

Tohmah institusi Diraja N Sembilan: SEKPUR gesa polis siasat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 1 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap satu hantaran Facebook yang didakwa mengandungi unsur tohmahan serta menyentuh sensitiviti institusi Diraja Negeri Sembilan.


Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun (gambar) mendakwa pihaknya memandang serius hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun “Che GuBard’s Post” yang didakwa menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz.


"Hantaran tersebut antara lain mendakwa bahawa DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 telah diturunkan daripada takhta dan tidak lagi memegang kedudukan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, dakwaan sedemikian amat serius kerana berpotensi mengelirukan rakyat, menimbulkan kegusaran awam serta mencemarkan maruah Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang kestabilan negara dan Perlembagaan Persekutuan.


Tambah beliau, setakat ini tiada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa yang mengesahkan dakwaan tersebut, justeru penyebaran maklumat tidak sahih berhubung institusi Diraja disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.


"SEKPUR menegaskan bahawa isu melibatkan institusi raja merupakan perkara yang sangat sensitif dan termasuk dalam kategori 3R (kaum, agama, raja) yang perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi undang-undang negara," katanya.


Sehubungan itu, SEKPUR menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.


Dalam masa sama, beliau turut menyeru semua pengguna media sosial agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya, khususnya yang melibatkan institusi diraja, demi memelihara perpaduan rakyat dan kestabilan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page